Isnin, 1 November 2010

TEORI BEHAVIORIS

Teori-teori Pembelajaran merujuk kepada prinsip-prinsip dan hukum-hukum berkaitan pembelajaran. Teori ini penting sebagai asas dan pertimbangan dalam memahami tingkah laku pembelajaran.

Teori Pembelajaran terbahagi kepada lima bahagian iaitu Teori Behavioris, Teori Kognitif, Teori Konstruktivis, Teori Sosial dan Teori Humanis. Teori Pembelajaran Behavioris pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu Teori Pelaziman Operan dan Teori Pelaziman Klasik. Teori Pelaziman Klasik dipelopori oleh dua orang pengasas iaitu Pavlov dan Watsan. Manakala Teori Pelaziman Operan juga dipelopori oleh dua orang pengasas iaitu Thorndike dan Skinner.

Apa yang perlu diketahui daripada Teori Behavioris ini adalah prinsip-prinsip teori tersebut yang terdiri daripada model pelaziman klasik Pavlov dan hukum-hukum teori pelaziman operan Thorndike.

Selain daripada itu, perkara yang mestilah diketahui juga adalah implikasi Teori Behavioris terhadap pengajaran dan pembelajaran dari aspek kurikulum, pengajaran dan penilaian. Malah, perkara yang tidak kurang pentingnya ini juga hendaklah diketahui dan difahami iaitu implikasi Teori Behavioris terhadap pengajaran dan pembelajaran bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Teori Behavioris mengatakan bahawa pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku yang boleh diperhatikan, dikawal dan diramal. Teori ini mengkaji perhubungan antara ransangan dan gerak balas apabila pelajar bertindak dalam persekitaran luaran. Selain daripada itu, teori ini juga melihat perhubungan antara tindakan pelajar dengan pengukuhan ransangan.

Teori Behavioris ini dikenali sebagai teori tingkah laku amat mengutamakan pembelajaran kemahiran-kemahiran tertentu khususnya kemahiran fizikal. Mereka menganggap pembelajaran ialah perubahan yang berlaku pada tingkah laku manusia yang berasaskan situasi-situasi tertentu.
2.0 TEORI PELAZIMAN OPERAN SKINNER
BURRHUS F. SKINNER (1904 - 1990)

Burrhus Frederic Skinner dilahirkan di sebuah kota kecil bernama Susquehanna, Pennsylvania, pada tahun 1904 dan wafat pada tahun 1990 setelah diserang penyakit leukemia. Skinner dibesarkan dalam keluarga sederhana, penuh disiplin dan kerja keras. Ayahnya adalah seorang jaksa dan ibunya seorang suri rumah tangga.

Skinner mendapat gelaran Bachelor di Inggeris dan berharap bahawa dirinya dapat menjadi penulis. Semasa bersekolah, memang ia sudah menulis untuk sekolahnya, tetapi ia menempatkan dirinya sebagai outsider (orang luar), menjadi atheist, dan sering mengkritik sekolahnya dan agama yang menjadi anutan sekolah tersebut. Setelah lulus dari sekolah tersebut, ia pindah ke Greenwich Village di New York City dan masih berharap untuk dapat menjadi penulis dan bekerja di sebuah surat khabar.

Pada tahun 1931, Sk inner memhabiskan sekolahnya dan memperolehi gelaran sarjana psikologi dari Harvard University. Setahun kemudian, ia juga memperoleh gelaran doktor (Ph.D) untuk bidang yang sama. Pada tahun 1945, ia menjadi ketua fakulti psikologi di Indiana University dan tiga tahun kemudian ia pindah ke Harvard dan mengajar di sana sepanjang kariernya. Meskipun Skinner tidak pernah benar-benar menjadi penulis di surat khabar seperti yang diimpikannya, ia merupakan salah satu ahli psikologi yang paling banyak menerbitkan buku maupun artikel tentang teori perilaku / tingkahlaku, reinforcement dan teori-teori belajar.

Skinner adalah salah satu ahli psikologi yang tidak sependapat dengan Freud. Menurut Skinner meneliti ketidaksadaran dan motif tersembunyi adalah suatu hal yang percuma kerana sesuatu yang boleh diteliti dan diselidiki hanya perilaku yang tampak / terlihat. Oleh karena itu, ia juga tidak menerima konsep tentang self-actualization dari Maslow dengan alasan hal tersebut merupakan suatu idea yang abstrak belaka.


Skinner memfokuskan penelitian tentang perilaku dan menghabiskan kariernya untuk mengembangkan teori tentang Reinforcement. Dia percaya bahawa perkembangan keperibadian seseorang, atau perilaku yang terjadi adalah sebagai akibat dari respond terhadap adanya kejadian eksternal. Dengan kata lain, kita menjadi seperti apa yang kita inginkan kerana mendapatkan reward dari apa yang kita inginkan tersebut. Bagi Skinner, hal yang paling penting untuk membentuk keperibadian seseorang adalah melalui Reward & Punishment. Pendapat ini tentu saja amat mengabaikan unsur-unsur seperti emosi, fikiran dan kebebasan untuk memilih sehingga Skinner menerima banyak kritikan.


3.0 EKSPERIMEN

Penemuan dalam pembelajaran yang diperolehi oleh Thorndike telah digunakan oleh seorang ahli psikologi Amerika bernama Burrhus Frederic Skinner dalam kajian sama bidang. Beliau juga bersependapat dengan dengan Pavlov, tetapi menyatakan bahawa perlakuan harus diperhatikan dalam jangka masa yang panjang dan membentuk perlakuan yang kompleks daripada perlakuan yang mudah. Skinner hanya menjalankan kajian dengan menggunakan binatang seperti tikus dan burung merpati. Beliau juga telah menghasilkan “Skinner Box” di mana tingkah laku binatang dalam kotak tersebut boleh dikawal dan gerak balasnya boleh diperhatiakan serta direkod. Kajian ini telah diguna pakai sebagai teori pelaziman operan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Antara eksperimen beliau ialah beliau telah membina sebuah kotak khas dimana di dalam kotak khas tersebut terdapat sebatang tuas yang disambung kepada sebuah bekas makanan yang terlekat pada dinding kotak itu. Sebuah mangkuk diletakkan di bawah tuas. Apabila tuas ditekan, makanan dari bekas itu akan masuk ke dalam mangkuk. Seekor tikus lapar telah dimasukkan ke dalam kotak itu. Tikus itu mundar-mandir di dalam kotak untuk mencari makanan. Selepas beberapa ketika dengan tidak sengaja tikus itu menekan tuas dan terkeluarlah makanan ke dalam mangkuk. Tikus itu mendapat makanan setiap kali ia menekan tuas. Proses ini berlaku berulang kali dan akhirnya tikus itu terus menekan tuas apabila ia hendak mendapatkan makanan. Tikus ini telah mempelajari satu cara mendapatkan makanan.

Untuk kajian seterusnya, Skinner telah memutuskan sambungan antara bekas makanan dengan tuas. Selepas itu, tikus itu tidak lagi mendapat makanan walaupun tuas itu ditekan. Setelah berapa kali mencuba, tikus itu berhenti menekan tuas kerana ia tahu usahanya itu sia-sia sahaja. Skinner kemudiannya meletakkan sebuah lampu dalam kotak itu. Apabila lampu itu menyala dan tuas itu pula ditekan makanan akan terkeluar.

Eksperimen ini dijalankan berulang kali hingga tikus itu sedar bahawa ia hanya akan mendapat makanan jika tuas itu ditekan pada masa lampu menyala. Tindakan tikus menekan tuas untuk mendapatkan makanan itu disebut pelaziman operan. Cahaya lampu dalam eksperimen ini tidak menyebabkan tikus itu menekan tuas. Ia hanya bertindak sebagai salah satu keadaan untuk membolehkan sesuatu tingkah laku itu (menekan tuas) berlaku.

Menurut Skinner (1953), kajiannya menunjukkan kelaziman operan organisma bertindak balas terhadap persekitaran dalam proses pembelajaran. Tingkah laku begini bukan semata-mata gerak balas automatik yang dikeluarkan mengikut naluri terhadap sesuatu rangsangan (pelaziman klasik). Pelaziman operan meningkatkan kebarangkalian pengulangan sesuatu gerak balas. Peneguhan menambahkan kekerapan gerak balas itu. Peneguhan biasanya ditakrifkan sebagai sebarang rangsangan yang menambahkan kebarangkalian gerak balas yang akan berlaku.

Peneguhan ialah perkara yang dilakukan untuk menggalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Menurut Rachlin(1991), penenguhan diberikan untuk memuaskan kehendak individu; keduanya, untuk mengurangkan tekanan dan meransangkan otak. Skinner membahagikan peneguhan kepada dua jenis iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.



4.0 JENIS


Terdapat lima jenis proses dalam teori pelaziman operan Skinner, iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip premack dan pelupusan.


4.1 PENEGUHAN POSITIF

Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Dalam bilik darjah, peneguhan positif ini diberikan sebagai salah satu bentuk motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Contoh-contoh peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah adalah seperti memberikan kata–kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau menjawab soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan sebagainya. Jadual 6.3 menunjukkan satu contoh peneguhan positif.

Tingkah Laku
Kesan / Akibat
Tingkah laku Masa Hadapan
Pelajar kemukakan soalan dengan baik
Guru memuji pelajar
Pelajar kemukan lebih banyak soalan yang baik.


Peneguhan positif yang diberikan oleh guru dapat mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Peneguhan yang diberi juga mestilah jelas dan bersistematik. Hanya tingkah laku yang spesifik sahaja yang perlu diberi peneguhan. Guru juga mestilah ikhlas ketika memberi peneguhan.

Menurut Brophy (1981), ciri-ciri pujian (peneguhan positif) yang memberi kesan ialah memuji secara ikhlas, memuji dengan cepat, memuji tanpa memilih kasih, memuji usaha dan cuba jaya, memuji tingkah laku yang spesifik, memuji jawapan atau respon yang spontan.

4.2 PENEGUHAN NEGATIF

Peneguhan negatif ialah ransangan serta merta yang tidak selesa atau menyakitkan yang diberikan selepas sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Contohnya, seorang bapa memarahi anaknya kerana tidak membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru. Oleh kerana jemu dengan leteran bapanya, maka si anak tadi menyiapkan kerja sekolahnya. Tindakan anak (membuat kerja rumah) dapat mengelak daripada ransangan yang tidak diingini (leteran bapa). Jadual menunjukkan satu lagi contoh peneguhan negatif.

Tingkah laku
Kesan / Akibat
Tingkah laku masa hadapan
Pelajar tidak menyiapkan tugasan tepat pada waktunya.
Guru menegur pelajar
Pelajar akan menyiapkan tugasan yang seterusnya tepat pada waktunya


4.3 DENDAAN

Dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut.

Tingkah laku
Kesan / Akibat
Tingkah laku masa hadapan
Pelajar membuat bising dala kelas.
Guru membuat amaran kepada pelajar.
Pelajar berhenti membuat bising dalam kelas


Dendaan boleh dibahagi kepada 2 bentuk iaitu yang pertama ialah dendaan persembahan dan kedua dendaan penyingkiran.


4.3.1 DENDAAN PERSEMBAHAN

Dendaan persembahan (presentation punishment), berlaku apabila sesuatu ransangan menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkah laku diri pelajar tersebut. Dendaan bentuk ini tidak melibatkan fizikal tetapi dapat menakutkan pelajar. Contohnya, larian padang, sistem dimerit atau guru memberi kerja tambahan.


4.3.2 DENDAAN PENYINGKIRAN

Dendaan penyingkiran (removel punishment), berkaitan dengan penyingkiran ransangan. Contohnya, ibu bapa atau guru-guru tidak memberi kemudahan apabila seseorang pelajar tidak berkelakuan betul. Contoh mengenakan dendaan penyingkiran ialah seperti tidak membenarkan mereka menonton televisyen dalam tempoh seminggu sebab mereka tidak membuat kerja rumah Sains.

Untuk menjadikan dendaan lebih efektif, beberapa peringkatan perlu diambil kira. Antaranya ialah dendaan perlu dilakukan dengan segera, sebaik sahaja perlakuan tidak diingini dipamerkan. Seterusnya orang yang menerima dendaan mesti tahu mengapa dia dihukum. Dendaan juga dilakukan atas dasar untuk mengubah kelakuan bukan sebagai balasan perlakuan dan yang terakhir hukuman mestilah tekal iaitu si A kena 3 rotan si B juga kena 3 rotan.

Ada setengah pendapat mengatakan denda boleh menghasilkan gangguan emosi serta persoalan etika. Dendaan yang keterlaluan boleh dianggap deraan serta menyebabkan berlakunya tingkah laku yang negatif, seperti pengasingan diri, rasa rendah diri, serta mengganggu perkembangan emosi dalam jangka masa yang panjang.


4.4 PRINSIP PREMACK

Prinsip premack ialah mengaitkan aktiviti kurang diminati dengan aktiviti yang lebih diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap aktiviti yang kurang di minati. Prinsip Premack juga dikenali sebagai ”Grandma’s Rule” yang berasaskan kenyataan, ”kamu boleh keluar bermain selepas kamu habis memakan sayur-sayuran”. Sebagai guru, kita boleh menyelangkan aktiviti yang menarik dengan aktiviti yang kurang menarik dalam bilik darjah untuk meningkatkan kadar pembelajaran murid.


4.5 PELUPUSAN

Pelupusan bermaksud perlakuan yang tidak diberi peneguhan akan lupus dengan sendirinya. Keadaan ini boleh diatasi dengan adanya peneguhan untuk sesuatu perlakuan itu dapat dikenal pasti, peneguhan itu tidak lagi digunakan serta guru perlu sabar dalam menghadapi proses pelupusan, kerana hasilnya tidak datang dengan serta merta.



5.0 IMPLIKASI SKINNER


Pemberian peneguhan yang positif seperti pujian, wang, kata-kata perangsang, hadiah, token dan bintang bagi meneguhkan tingkah laku yang dikehendaki. Sebagai contoh, guru memberikan Rahimah lima bintang kerana berjaya menghasilkan lukisan tercantik dalam bilik darjah. Pemberian peneguhan mesti diberikan secara tekal bagi menjamin berulangnya tingkah laku yang positif. Objektif tingkah laku yang realistik dan penguasaan kemahiran secara berperingkat. Guru memastikan objektif pengajaran yang ditetapkan realistik dan tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah arasnya. Ia mesti sejajar dengan kebolehan pelajar. Guru juga perlu mengajar sesuatu kemahiran seperti bermain bola sepak secara berperingkat-peringkat ( seperti burung merpati bermain ping-pong ) supaya pelajar menguasai permainan tersebut dengan lebih berkesan.

Mengajar pelajar membezakan persamaan dan perbezaan di antara dua situasi yang berlainan, supaya mereka dapat membuat generalisasi dan diskriminasi dengan betul. Guru perlu mengamalkan prinsip generalisasi dalam bilik darjah. Pemindahan pembelajaran berlaku dari situasi A kepada situasi B. Generalisasi membawa maksud melakukan tingkah laku yang sama dalam situasi yang berlainan. Contohnya, sesetengah pelajar takut untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Guru boleh menasihatkan pelajar tersebut dan memberitahunya bahawa dia akan menduduki peperiksaan yang hampir sama dengan ujian bulanan. Oleh itu, pelajar tidak akan berasa begitu takut kerana dia sudah biasa membuat ujian bulanan. Bagi diskriminasi rangsangan pula, guru perlu memastikan bahawa pelajar memberi fokus kepada rangsangan yang betul dan dapat membezakan rangsangan-rangsangan yang lebih penting dalam proses P&P. Sebagai contoh, guru boleh memberitahu pelajar objektif spesifik yang perlu dikuasai dalam sesuatu pelajaran. Maka pelajar akan memberi perhatian yang lebih kepada maklumat penting yang berkaitan dengan objektif pelajaran. Ini menunjukkan bahawa pelajar dapat membuat diskriminasi antara maklumat penting dan kurang relevan.

Pelajar boleh mempelajari dengan mengaitkan antara rangsangan dan gerak balas. Ini bermakna tingkah laku pelajar boleh dilazimkan untuk gerak balas yang diingini atau tidak diingini oleh guru. Sebagai contoh, apabila guru masuk ke kelas ( rangsangan ) pelajar berdiri dan mengucapkan ” Selamat Pagi ” ( gerak balas ). Guru pun memuji pelajar. Tanpa arahan guru, pelajar akan terus melakukan tingkah laku ini setiap kali seorang guru masuk ke dalam bilik darjah. Rangsangan dan gerak balas diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan dikaitkan dengan gerak balas semakin kukuh gerak balas terlazim. Sebagai contoh, seorang pelajar diberi peneguhan positif dalam bentuk pujian untuk kerjanya yang kemas. Kerja yang kemas akan berterusan, walaupun tiada pujian daripada guru. Guru juga dapat meningkatkan tingkah laku pembelajaran yang positif dengan mengadakan perbincangan, projek dan aktiviti kumpulan di kalangan pelajar.

Motivasi membangkitkan tingkah laku positif. Guru perlu memotivasikan pelajar dengan ganjaran yang sesuai sebelum mereka dapat mengawal tingkah laku pembelajaran yang dikehendaki dalam P&P. Sebagai contoh, guru perlu memberi motivasi seperti dalam bentuk pujian, hadiah, kata-kata perangsang dan sebagainya untuk menbentuk tingkah laku yang diingini. Guru juga boleh meningkatkan motivasi pelajar dengan menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan. Bagi maksud penghapusan pula, jika sesuatu tingka laku tidak diberi peneguhan ia boleh dikikiskan secara perlahan-lahan. Sebagai contoh, guru boleh mengikiskan perasaan takut yang dialami oleh pelajar dalam situasi P&P. Sebagai contoh, jika perlu takut untuk membuat pembentangan di hadapan kelas, guru perlu meningkatkan keyakinannya secara berperingkat. Pertama sekali, guru membiarkan pelajar itu membaca kepada kumpulan yang lebih kecil semasa dia duduk, kemudian semasa dia berdiri. Akhir sekali, baru pelajar itu diberi peluang membaca di hadapan kelas. Ini dapat menghapuskan perasaan takut yang dialami oleh pelajar tersebut.


6.0 IMPLIKASI TEORI BEHAVIORIS TERHADAP PROSES PEMBELAJARAN


Perhubungan antara ransangan dengan gerak balas kerap berlaku dalam situasi pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah. Tingkah laku murid kadang-kadang berusul daripada ikatan R-G dan kesan daripada pertalian dan peneguhan.

6.1 PERHUBUNGAN : PEMBELAJARAN MELALUI PERHUBUNGAN

Prinsip perhubungan menyarankan bahawa sesuatu pembelajaran boleh berlaku apabila perkara-perkara mempunyai pertalian di antara satu sama lain. Melalui kaedah pembelajaran ini, seseorang itu dapat menghubungkaitkan satu idea dengan idea yang lain, satu pengalaman dengan pengalaman yang lain ataupun antara perkara-perkara yang berkaitan. Oleh itu, apabila sesuatu perkara timbul (ransangan), perkara yang lain (gerak balas) dapat diingatkan. Proses perhubungan ini dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut :

6.1.1 PENGULANGAN

Memadankan ransangan dengan gerak balas yang betul secara berulang-ulang dapat menghasilkan pembelajaran. Contohnya :

Ransangan
Gerak balas
Sifir seperti 4 X 6
Ibu kota Malaysia ialah
Daun hijau mengandungi
24
Kuala Lumpur
klorofil


6.1.2 STEREOTAIP

Pembelajaran boleh menghasilkan kesan kukuh pada diri seseorang untuk membuat sesuatu atau menhinterpretasikan sesuatu perkara. Misalnya, cara menyimpan alat selepas digunakan; atau cara menyelesaikan masalah matematik yang sama jenis. Contohnya : x + 4 = 8, jadi x = 8 – 4 = 4. Seterusnya dapat menyelesaikan 2y – 2 = 6.
6.2 PELAZIMAN KLASIK : MENGHASILKAN GERAK BALAS AUTOMATIK
DENGAN RANSANGAN BARU

Manusia dan haiwan dapat belajar cara untuk bergerak balas secara automatik terhadap ransangan yang dahulunya tidak memberi kesan kepadanya. Contoh proses pembelajaran ini termasuklah gerak balas emosi seperti takut dan seronok serta gerak balas fisiologi seperti ketegangan otot. Gerak balas luar kawal ini boleh dipelajari dan menjadi suatu kebiasaan supaya ia akan berlaku secara automatik dalam situasi tertentu.

Misalnya seorang kanak-kanak pada mulanya sangat suka menaiki basikal tetapi selepas mengalami suatu kemalangan teruk dengan basikal itu, dia menjadi sangat takut pada basikal dan tidak mahu menaiki basikal lagi. Basikal yang merupakan ransangan neutral pada mulanya sekarang membawa garak balas takut secara automatik. Contoh-contoh lain dalam pembelajaran negatif termasuklah benci pada sekolah kerana sesuatu kekecewaan yang dialami di sekolah, jatuh sakit semasa menjalani ujian kerana pernah mengalami kegagalan sebalum ini dan didenda akibat kegagalan itu.

Misalnya, jika seseorang pelajar itu selalu memperolehi pencapaian cemerlang di sekolah, dia akan sentiasa mempunyai keyakinan menghadapi tugas pembelajaran yang baru. Begitu juga murid-murid yang berjaya dalam algebra akan lebih bersedia dan lebih yakin untuk mencuba trigonometri.

Ini dapat dilaksanakan seperti berikut :

6.2.1 PENCEGAHAN

Untuk mencegah perkembangan tindak balas emosi yang negatif dalam situasi sekolah, guru haruslah menghubungkaitkan ransangan positif dengan pengalaman di sekolah. Misalnya, mewujudkan suasana yang selesa dan menarik dalam bilik darjah dan sekolah. Guru juga harus menghubungkaitkan perkara yang positif dan menyenangkan dengan tugasan pembelajaran.

6.2.2 PEMULIHAN

Apabila seseorang mengalami perasaan takut atau bimbang terhadap sesuatu aspek sekolah, prinsip pemusnahan boleh digunakan untuk menghapuskan perasaan negatif itu. Cara ini boleh menggalakkan pelajar menghadapi situasi masalah tersebut tetapi guru haruslah memastikan perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku. Misalnya, jika seorang pelajar takut untuk memegang cacing tanah, pelajar itu hendaklah menyentuh cacing itu sekiranya guru pasti tindakan itu tidak akan menimbulkan kesan yang negatif. Selepas beberapa kali menyentuh cacing, pelajar itu akan berani memegang cacing apabila perasaan takut itu dapat dihapuskan.

6.2.3 PENGHAPUSAN BERANSUR

Kadangkala perasaan takut yang dialami oleh pelajar tidak dapat dihapuskan dengan serta-merta kerana pelajar tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Kebimbangan ini akan terus mengganggu pembelajaran pelajar itu menyebabkan masalah yang dihadapi bertambah berat. Satu cara menyelesaikan masalah itu ialah dengan menghapuskan perasaan takut secara beransur-ansur. Misalnya, sekiranya seorang murid itu takut menhadapi ujian, guru bolehlah memberikan pelajar ini tugas ringkas, kuiz kumpulan, soalan pendek dan aktiviti penilaian dalam kumpulan kecil. Apabila pelajar itu telah bersedia dan merasa yakin barulah dia disuruh menjalani uijian.

Pelaziman klasik memberi garis panduan bagi proses pengajaran dan pembelajaran seperti berikut :
v Menghubungkaitkan perkara-perkara yang positif dan menyenangkan dengan tugasan pembelajaran.
v Menggalakkan pelajar berdamping dengan situasi yang menakutkan sekiranya tindakan itu tidak menimbulkan hasil yang negatif.
v Sekiranya perasaan takut yang dialami murid mencapai tahap yang serius, rangkakan langkah-langkah kecil untuk menyelesaikan secara beransur-ansur.
v Membantu murid membezakan keadaan yang dapat menyebabkan sesuatu tingkah laku sesuai atau tidak sesuai.

6.3 PELAZIMAN OPERAN : MENCUBA GERAK BALAS BARU

Kadangkala dalam proses pembelajaran, pelajar melibatkan diri secara aktif dalam proses itu. Tindakan sengaja ini berlaku kerana pelajar itu “beroperasi” dalam persekitaran. Tingkah laku (apa jua pergerakan) tindakan sengaja yang semakin bertambah kekerapannya disebut “operan”. Pelaziman operan pula merupakan satu proses pembelajaran yang melibatkan tingkah laku tindakan sengaja itu diulang pada masa hadapan. Misalnya, seorang pelajar akan lebih rajin membuat sesuatu tugasan sekiranya kegiatan ini dapat menghasilkan ganjaran atau pujian.

Kesan atau akibat daripada tingkah laku pelaziman operan disebut peneguhan. Peneguhan dapat menambahkan kekerapan sesuatu tingkah laku yang dikehendaki. Terdapat dua jenis peneguhan, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif merujuk kepada kehadiran sesuatu ransangan yang digunakan untuk menghasilkan tingkah laku yang diingini, misalnya ganjaran wang, hadiah dan pujian. Peneguhan negatif melibatkan penghapusan ransangan yang tidak diingini untuk menggalakkan hasil tingkah laku yang dikehendaki. Penghapusan ransangan negatif juga menambahkan kekerapan tingkah laku itu. Misalnya, seorang murid akan menyiapkan tugasannya dalam masa yang ditetapkan untuk mengelakkan daripada dimarahi oleh guru. Ransangan “dimarahi” merupakan peneguhan negatif. Peneguhan positif melibatkan penambahan sesuatu ransangan tetapi peneguhan negatif pengurangan ransangan itu. Malah kedua-dua peneguhan ini menggalakkan sesuatu tingkah laku berlaku dengan lebih kerap lagi.

Perlu diingatkan bahawa peneguhan negatif berbeza daripada denda. Denda digunakan untuk mengurangkan atau menghalang sesuatu tingkah laku. Sesuatu tingkah laku itu diandaikan tidak akan berulang lagi selepas denda dikenakan. Denda boleh dilaksanakan dalam dua cara untuk menggalakkan pembelajaran. Pertama menggunakan satu ransangan untuk menghapuskan tingkah laku yang tidak diingini. Misalnya memberikan tugasan tambahan kepada murid, mendenda murid berlari keliling padang, atau merotan. Kedua ialah denda yang berkaitan dengan melucutkan sesuatu ransangan. Guru atau ibu bapa tidak memberikan sesuatu keistimewaan kepada anak-anak yang tidak berkelakuan baik. Misalnya, anak itu tidak dibenarkan menonton televisyen selama seminggu.

Contoh : Dikecualikan daripada membuat latihan
Perlucutan denda
Contoh : Tidak dibenarkan menonton televisyen selama seminggu


Tingkah laku juga boleh dipengaruhi oleh kata petua sebelum ia berlaku. Petua ialah tindakan memberi ransangan sebelum sesuatu tingkah laku berlaku dengan tujuan untuk memperolehi corak tingkah laku itu. Dalam pembelajaran bilik darjah, guru boleh mengingatkan murid dengan kata petua seperti “untuk menyelesaikan masalah ini, sila rujuk kepada .....”. Apabila murid melakukan tingkah laku yang sesuai dengan berpandukan petua itu, guru hendaklah memberi peneguhan ke atas pencapaian murid untuk menggalakkan pembelajaran lanjutan.

Sebagai rumusan, pelaziman operan dapat dilaksanakan dalam bilik darjah dengan cara-cara berikut :
v Pastikan peneguhan diberikan bagi tingkah laku positif dalam bilik darjah.
v Berikan peneguhan yang banyak semasa mewujudkan tingkah laku yang baru.
v Selepas tingkah laku baru diwujudkan teruskan memberi peneguhan untuk memelihara kesinambungan tingkah laku itu.
v Gunakan petua untuk membina tingkah laku baru.


7.0 AKTIVITI

Aktiviti yang kumpulan kami jalankan selepas pembentangan adalah memberikan latihan bagi menguji kefahaman rakan-rakan terhadap isi pembentangan. Tajuk bagi latihan tersebut ialah Teori Pelaziman Operan Skinner di bawah Teori Behavioris. Teori Behavioris ini pula terletak di bawah tajuk Teori Pembelajaran.

Isi yang kami ingin rakan-rakan penuhi di dalam lembaran kertas yang diberikan adalah mengenai eksperimen yang terdapat di dalam teori tersebut, jenis-jenis beserta contoh bagi setiap jenis, implikasi Skinner dalam bilik darjah dan implikasi Behavioris di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Antara jawapan yang diberikan ialah eksperimen Skinner dengan tikus dan burung merpati. Jenis-jenis pula ialah peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip premack dan pelupusan. Contoh-contoh adalah pelajar berjaya menjawab soalan, guru memberi pujian; pelajar tidak menyiapkan tugasan, guru menegur sikap pelajar tersebut; pelajar membuat bising di dalam kelas, guru menyuruh pelajar yang bising keluar kelas; seorang kanak-kanak hanya dibenarkan oleh ibunya untuk bermain selepas makan sayur; serta palajar yang takut ketika membuat pembentangan akan berterusan jika guru tidak membantunya.

Implikasi Skinner dalam bilik darjah ialah pemberian peneguhan yang positif seperti pujian, wang, motivasi dan lain-lain; menggunakan prinsip penghapusan dalam bilik darjah; serta motivasi membangkitkan tingkah laku positif. Bagi implikasi Behavioris pula adalah menghubungkaitkan perkara yang positif dan menyenangkan dengan tugasan pembelajaran; berikan peneguhan yang banyak ketika mewujudkan tingkah laku yang baru; serta menggalakkan pelajar berdamping situasi yang menakutkan sekiranya tindakan itu tidak menimbulkan hasil yang negatif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut

Cari Blog Ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...