Isnin, 1 November 2010

PJM 3105 GROWTH AND MOTOR LEARNING


Tajuk 1 Definisi dan konsep (Definition and concepts)
Tiga istilah lazim yang digunakan apabila perbincangan mengenai bayi, kanak-kanak dan remaja diketengahkan adalah pertumbuhan, proses matang dan perkembangan.
1 Pertumbuhan (Growth)
  • Penambahan bersifat kuantitatif dalam saiz badan secara menyeluruh atau saiz yang dicapai oleh anggota badan tertentu.
  • Perubahan dalam saiz ini melibatkan tiga proses selular iaitu:
(i) Penambahan bilangan sel (hiperplasia)
(ii) Penambahan saiz sel (hipertropi)
(iii) Penambahan bahan-bahan interselular (accretion)
  • Penambahan atau peningkatan ini adalah akibat fungsi pembahagian sel (mitosis) yang melibatkan pereplikaan DNA dan migrasi kromoson yang direplika kepada sel-sel berfungsi dan seiras.
  • Penambahan dalam saiz sel melibatkan penambahan unit-unit fungsi di dalam sel tersebut, khususnya protein dan substratnya, yang jelas kelihatan dalam hipertropi otot ketika pertumbuhan.
  • Bahan-bahan interselular adalah berbentuk organik dan bukan organik, dan sering berfungsi mengikat atau mengumpulkan sel-sel dalam satu jaringan kompleks.
  • Hiperplasia, hipertropi dan accretion berlaku ketika proses pertumbuhan.
  • Proses pertumbuhan ini berbeza mengikut umur dan tisu-tisu badan yang terlibat, contohnya, bilangan neuron (sel otak) dibentuk semasa pertengahan kehamilan manakala bilangan gentian (fiber) otot terbentuk sejurus kelahiran.
2 Proses matang (Maturation)
· Lazimnya dijelaskan sebagai satu proses menjadi matang atau satu langkah ke arah mencapai keadaan matang.
· Maturation = proses matang, maturity = kematangan, mature = matang
· Proses matang ini berlaku dalam semua tisu, organ, dan sistem organ, memberi kesan ke atas enzim, komposisi kimia dan fungsi.
· Proses matang berbeza mengikut sistem biologi seseorang.
· Proses matang seksual adalah keadaan di mana keupayaan organ-organ pembiakan berfungsi sepenuhnya.
· Proses matang tulang adalah keadaan di mana rangka seseorang terbentuk sepenuhnya.
· Proses matang sistem endokrin dan saraf (neuroendocrine) adalah satu faktor utama dalam proses kematangan seksual, tulang dan somatik semasa peringkat lewat kanak-kanak dan remaja.
· Proses matang adalah merujuk kepada tempo (kadar kematangan berlaku) dan waktu (bila berlakunya kematangan khusus) perkembangan ke arah keadaan yang matang secara biologikal.
· Proses matang berfokus pada kadar pencapaian saiz dewasa dan kematangan.
3 Perkembangan (Development)
  • Pada lazimnya, perkembangan boleh diasaskan kepada dua konteks.
  • Konteks pertama adalah bersifat biologikal. Dalam konteks ini, perkembangan adalah merujuk kepada proses pembezaan dan pengkhususan sel-sel embrio kepada pelbagai jenis sel, tisu, organ dan unit fungsi.
  • Ini biasanya berlaku di peringkat awalan pranatal apabila tisu dan sistem organ mula dibentuk, dan amat bergantung kepada keaktifan gen yang berinteraksi dengan hormon dan nutrien.
  • Konteks kedua adalah bersifat tingkah laku. Aspek ini berkait kepada perkembangan kecekapan pelbagai domain yang saling berkaitan semasa kanak-kanak menyesuaikan diri dalam kehidupan dan budayanya.
  • Oleh itu, kita boleh menyatakan perkembangan dari aspek keterampilan sosial, intelek atau kognitif, emosi yang berasaskan kepada persekitaran dan budaya kanak-kanak tersebut.
  • Haywood (1993), menjelaskan perkembangan sebagai perubahan tingkah laku akibat daripada interaksi kanak-kanak dengan persekitarannya.
  • Bailey & McFadyen (dalam Pickup & Price, 2007), menyatakan pertumbuhan adalah merujuk kepada proses perubahan sepanjang hayat di mana individu memperolehi kecekapan dalam pelbagai aspek. Lazimnya disifatkan oleh peningkatan fungsi yang khusus dan rumit akibat faktor-faktor biologi dan persekitaran.
Interaksi Pertumbuhan, Proses matang dan Perkembangan
Pertumbuhan -------------------- Proses matang -------------------- Perkembangan
Saiz Tulang Kognitif
Kadar Seksual Emosi
Badan Somatik Sosial
Komposisi Gigi Moral
Sistemik Otot-saraf Motor


Konsep Kendiri

Harga Diri

Kecekapan Nyata
4 Prestasi fizikal (Physical performance)
· Perkembangan dan kehalusan sesuatu prestasi kemahiran dalam pelbagai aktiviti motor adalah meupakan suatu tugas perkembangan kanak-kanak dan remaja.
· Semua kanak-kanak, kecuali yang mengalami kecacatan perkembangan yang serius, mempunyai potensi untuk berkembang dan belajar pelbagai kemahiran dan pola pergerakan asas dan khusus.
· Pola pergerakan ini akhirnya akan digabungkan ke dalam kemahiran khusus yang menjadi paksi utama perkembangan tingkah laku kanak-kanak.
· Sifat-sifat prestasi kanak-kanak adalah berkait dengan pertumbuhan, proses matang dan perkembangan. Perkaitan ini dapat dilihat dengan jelas dalam perkembangan asas pola pergerakan seperti berjalan, berlari dan melompat.
5 Aktiviti fizikal (Physical Activity)
  • Aktiviti fizikal adalah suatu tingkah laku yang berlaku dalam pelbagai bentuk dan konteks, termasuk mainan bebas, kerja seharian, senaman, pendidikan jasmani sekolah, dan sukan yang diuruskan.
  • Ini merujuk kepada mana-mana pergerakan badan yang dihasilkan oleh otot rangka dan yang menyebabkan peningkatan kecil penggunaan tenaga rehat.
  • Aktiviti fizikal yang kerap adalah penting untuk penyelarasan berat badan dan accretion mineral tulang semasa peringkat kanak-kanak dan remaja.
  • Peningkatan penggunaan tenaga yang diperlukan semasa aktiviti fizikal akan menyumbang kepada kecekapan fungsi pelbagai sistem, pengekalan berat badan, mengurangkan risiko penyakit degeneratif, mengurangkan risiko kematian awal dan meningkatkan kualiti kehidupan yang menyeluruh.
  • Aktiviti fizikal sering disalahtafsir sebagai sama dengan latihan (training).
  • Aktiviti fizikal bukannya latihan, walaupun adalah aspek utama dalam latihan.
  • Latihan adalah merujuk kepada sesuatu program yang sistematik, dan khusus untuk sukan tertentu dalam jangkamasa tertentu.
6 Pembelajaran motor (Motor learning) - Schmidt & Lee (2005)
  • Boleh didefinisikan berasaskan empat sifat utama.
  • Pertama, pembelajaran adalah suatu proses mencapai keupayaan untuk membentuk tindakan yang berkemahiran. Ini bererti pembelajaran melibatkan satu set peristiwa, atau perubahan di mana latihan akan membolehkan seseorang itu menjadi lebih mahir.
  • Kedua, pembelajaran berlaku akibat latihan atau pengalaman langsung.
  • Ketiga, pembelajaran tidak boleh diperhatikan secara langsung, kerana proses ke arah perubahan dalam tingkah laku adalah bersifat dalaman.
  • Keempat, pembelajaran dianggap sebagai menghasilkan perubahan yang kekal di dalam keupayaan kemahiran tingkah laku seseorang.
  • Hasil sintesis empat sifat utama di atas telah memberikan definisi pembelajaran motor sebagai satu set proses yang berkait dengan latihan atau pengalaman yang membawa kepada perubahan keupayaan untuk bergerak yang kekal.
  • Menurut Malina, et al. (2004), pembelajaran motor adalah kemajuan dalam prestasi hasil latihan yang lama. Oleh yang demikian, ini berkaitan dengan tindak balas tisu dan sistem yang khusus terhadap latihan.
  • Gabbard (2008), merujuk pembelajaran motor sebagai suatu perubahan prestasi kemahiran motor yang agak kekal, akibat daripada praktis atau pengalaman.

Tajuk 2 Pertumbuhan dan perkembangan pranatal
(Prenatal growth dan development)
Bercirikan kepada proses-proses biokimia, biofizikal, struktur dan fungsi yang bersepadu, kompleks dan tepat. Jangka masa pranatal, pada puratanya adalah 9 bulan atau 40 minggu.
1 Peringkat pertumbuhan pranatal
  • Terdiri daripada tiga peringkat yang nyata iaitu:
(i) Persenyawaan ovum (zigot)
- Merangkumi 2 minggu selepas persenyawaan
- Tempoh pembahagian sel yang pesat
- Semasa sel-sel membahagi, satu gumpalan sel yang berbentuk buah beri terhasil dan ini dikenali sebagai morula.
- Semasa minggu kedua, selepas persenyawaan, blastosit akan menempel di dinding uterus dan beberapa lapisan sel kelihatan dengan jelas. Lapisan yang paling penting akan membentuk embrio manakala lapisan lain adalah berfungsi untuk pemakanan embrio yang sedang membesar, pembentukan plasenta dan tali pusat.

(ii) Embrio
- Tempoh bermula dengan pembentukan embrio dan terdiri daripada minggu kedua ke minggu kelapan.
- Tempoh ini adalah masa di mana pertumbuhan dan pembahagian sel yang pesat berlaku.
- Pada peringkat ini, pembahagian sel-sel akan membentuk tisu, organ dan sistem.
(iii) Fetus
- Tempoh bermula dari minggu kesembilan sehingga minggu keempat puluh.
- Peringkat ini merangkumi pertumbuhan saiz dan jisim yang pesat, perubahan bentuk dan perkembangan fungsi-fungsi di dalam tisu, organ dan sistem.

2 Pertumbuhan janin/fetus
Bercirikan kepada pertumbuhan dan penambahan saiz badan, kadar pertumbuhan dan komposisi badan.
  • Saiz badan
- Keluk pertumbuhan janin adalah berbentuk S atau sigmoid iaitu keluk yang menggambarkan perubahan berat badan.
  • Kadar pertumbuhan
- Pada usia 2 bulan, janin lazimnya mempunyai kepala yang lebih besar berbanding saiz badan keseluruhannya, dan mempunyai anggota badan yang kecil dan pendek.
- Apabila mencapai peringkat pertengahan kehamilan, janin masih mempunyai kepala yang besar tetapi pertumbuhan yang pesat telah berlaku di bahagian pinggang dan anggota-anggota badan yang lain.
- Perubahan ini akan berterusan sehinggalah kepala janin, badan dan anggota-anggota lain berkembang mengikut kadar pertumbuhan yang sepatutnya.

  • Komposisi badan
- Walaupun berat dan panjang badan adalah petunjuk utama di dalam pertumbuhan janin, berat badan adalah lebih diutamakan.
- Kadar kandungan air di dalam badan akan berkurangan apabila berat janin semakin bertambah.
- Kadar kandungan lemak akan meningkat apabila berat janin meningkat kepada 1500g.
- Kepekatan nitrogen akan meningkat selaras dengan berat janin, begitu juga dengan kepekatan kalsium (pembentukan tisu tulang) dan fosforus (disebarkan di antara tisu lembut dan keras).
3 Aktiviti motor janin
· Denyutan jantung boleh dikesan dalam tempoh 4 minggu selepas persenyawaan.
· Dalam tempoh 5 – 6 minggu, pergerakan di bahagian atas tulang belakang boleh dikesan dengan alat ultrabunyi.
· Pergerakan lengan dan kaki boleh dikesan dalam tempoh 8 – 9 minggu.
· Perubahan otot-saraf adalah berbeza mengikut umur.
· Janin yang dilahirkan selepas 28 minggu akan mempunyai otot-saraf yang berbeza berbanding janin yang dilahirkan selepas 25 – 26 minggu.
· Pantulan asas, tonus otot, tindak balas, dan tingkah laku deria motor akan berubah secara ketara kerana tempoh kelahiran yang berbeza.
4 Faktor-faktor yang mempengaruhi berat janin
· Jenis baka (genotaip)
· Jantina
· Status sosioekonomi (tempat tinggal, persekitaran)
· Berat semasa ibu mengandung
· Bentuk badan ibu
· Berat badan yang diperolehi semasa hamil
· Status pemakanan
· Tabiat merokok atau meminum alkohol
· Tabiat senaman
Lelaki pada lazimnya lebih berat daripada perempuan. Bayi pertama yang dilahirkan pada lazimnya lebih ringan berbanding kelahiran seterusnya. Bayi sulung dikenali sebagai primaparous manakala yang seterusnya dikenali sebagai multiparous.
Tajuk 3 Pertumbuhan Somatik (Pertumbuhan pascanatal)
(Somatic growth)
1 Pengukuran yang lazim digunakan dalam kajian pertumbuhan
· Satu set teknik piawai yang sistematik untuk pengukuran badan dan anggotanya adalah dikenali sebagai antropometri (anthropometry) di mana anthropo = manusia dan metry = pengukuran.
· Satu cara pengukuran bersifat kuantitatif ke atas saiz, perkadaran dan bentuk badan.
· Berat badan adalah pengukuran ke atas jisim badan.
· Ketinggian (stature) adalah pengukuran jarak linear dari lantai ke bahagian atas (puncak) tengkorak.

· Panjang berbaring (recumbent length) adalah ukuran panjang pada kanak-kanak berumur antara 2 – 3 tahun, dalam keadaan berbaring.

· Ketinggian berduduk (sitting height) adalah ketinggian semasa berduduk tegak yang diukur dari permukaan berduduk ke bahagian atas kepala.
· Ukuran lebar biacromial adalah ukuran jarak dari cuaran acromial skapula kanan ke kiri. Ini adalah ukuran lebar bahu.
· Ukuran lebar bicristal adalah ukuran dari bahagian sisi lengkungan iliak kanan ke kiri. Ini adalah ukuran lebar pinggul.
· Lebar bicondylar adalah ukuran dari tulang kondil (condyles) femur manakala ukuran lebar biepicondylar adalah ukuran yang melibatkan tulang humerus.
· Ukuran lilitan lengan lazimnya diukur dari titik pertengahan antara cuaran acromial dan olecranon (hujung siku).
· Ukuran lilitan betis adalah pada bahagian paling tebal semasa individu berdiri dan berat badan disebar dengan sekatanya.
· Ketebalan lapisan kulit adalah petunjuk lapisan lemak di bawah kulit (subcutaneous) dan boleh diukur dengan kaliper.
· Pengukuran ketebalan lapisan kulit lazimnya dilakukan di bahagian otot trisep dan subskapular.
· Ukuran lilitan kepala lazimnya dilakukan ke atas bayi dan kanak-kanak berumur 3 – 4 tahun sebagai petunjuk pertumbuhan otak.
· Indeks jisim badan (BMI) adalah ukuran yang menghubungkaitkan berat (kg) dan ketinggian (m).
2 Corak pertumbuhan dalam ketinggian dan berat badan
· Ketinggian dan berat badan adalah dua ukuran yang lazim digunakan dalam kajian pertumbuhan.
· Dari peringkat kelahiran sehingga awal dewasa, ketinggian dan berat badan menunjukkan satu corak pertumbuhan yang terdiri daripada empat fasa iaitu:
(a) pesat di peringkat bayi dan awal kanak-kanak,
(b) malar di peringkat pertengahan kanak-kanak,
(c) pesat di peringkat awal remaja, dan
(d) perlahan selepas remaja dan berhenti di peringkat dewasa
· Kadar pertumbuhan ketinggian dan berat badan semasa awal remaja adalah tinggi. Kadar pertumbuhan ini adalah lebih cepat bagi perempuan berbanding lelaki untuk tempoh dua tahun.
· Ketinggian perempuan berhenti apabila mencapai umur 16 tahun manakala lelaki akan terus berkembang untuk tempoh dua tahun lagi.
3 Corak pertumbuhan dalam dimensi anggota lain
· Kebanyakan anggota badan mengalami corak pertumbuhan yang meningkat kecuali lapisan lemak di bawah kulit, bahagian kepala dan muka.
· Pertumbuhan ketinggian berduduk berlaku dalam suatu tempoh yang panjang dan menyumbang lebih kepada ketinggian keseluruhan berbanding panjang kaki.
· Lelaki mempunyai bahu yang lebih lebar berbanding perempuan tetapi kedua-dua jantina ini mempunyai lebar iliac crest yang sama.
· Lilitan lengan dan betis mempunyai corak pertumbuhan yang serupa dengan berat badan.
· Pertumbuhan pesat pada lilitan kepala dapat dilihat sejak kelahiran sehingga 2 tahun, dan mula perlahan selepas itu.
4 Perubahan perkadaran anggota badan
  • Walaupun corak pertumbuhan atau bentuk keluk pertumbuhan dalam kebanyakan anggota badan hampir sama dengan ketinggian dan berat badan, kadar pertumbuhan adalah berbeza antara anggota yang khusus.
  • Pertumbuhan allometric adalah hubungan sistematik antara anggota badan semasa pertumbuhan.
  • Nisbah ketinggian berduduk kepada ketinggian diperhatikan paling tinggi semasa peringkat bayi dan menurun di sepanjang peringkat kanak-kanak sehinggalah ke alam remaja.
  • Sebelum remaja, lelaki dan perempuan mempunyai perkadaran yang sama dalam panjang kaki atau panjang badan. Walau bagaimanapun, semasa alam remaja sehingga dewasa, perempuan pada puratanya mempunyai anggota yang lebih pendek berbanding lelaki mengikut ketinggian yang serupa.
Perkembangan badan (Development of physique)
1 Kaedah penilaian badan
· Hippocrates pada zamannya mencadangkan dua jenis klasifikasi badan iaitu habitus phthisicus (linear) dan habitus apoplecticus (lateral).
· Pendekatan konsepsual yang diperkenalkan oleh William Sheldon adalah kaedah penilaian yang lazim digunakan pada hari ini. Pendekatan ini berdasarkan jenis bentuk badan (somatotype, soma = badan).
· Pendekatan ini berasaskan kepada penyebaran variasi badan yang berterusan.
· Komponen-komponen yang dicadangkan adalah endomorphy, mesomorphy dan ectomorphy.
· Ciri utama endomorf [Rajah (a)] adalah berasaskan kepada organ-organ pencernaan dan kelembutan serta kebulatan kontur badan.
· Ciri utama mesomorf [Rajah (b)] adalah pada otot, tulang dan tisu-tisu penghubung, supaya otot kelihatan sasa.
· Ciri utama ektomorf [Rajah (c)] adalah berasaskan kepada kerapuhan bentuk, perkembangan otot yang lemah, dan luas permukaan yang lebih berbanding jisim badan.
· Kaedah Phenotype Parnell, yang dikemukakan oleh Richard Parnell adalah modifikasi ke atas Sheldon dan bersifat antropometrik.
· Phenotype bermaksud keadaan badan pada suatu masa tertentu.
· Ketinggian, berat, tiga lipatan kulit, dua lilitan anggota dan dua kelebaran tulang anggota digunakan untuk menilai anggaran tiga komponen badan iaitu gemuk, sasa dan kurus.
· Kaedah Heath-Carter menggabungkan prosedur fotoskopik dan antropometrik untuk menganggar jenis badan.
2 Perubahan bentuk badan semasa pertumbuhan
  • Perempuan lebih bersifat endomorf semasa pertumbuhan dan kematangan dan bersusut ke ektomorf selepas itu. Tidak terdapat pola yang nyata untuk mesomorf.
  • Antara 17 hingga 33 tahun, endomorf dan mesomorf kelihatan bertambah manakala ektomorf berkurangan.
Tajuk 4 Model dan kaedah pembelajaran komposisi badan
(Models and methods for studying body composition)
1 Model komposisi badan
· Dua model yang lazim digunakan di dalam kebanyakan kajian adalah dari perspektif (a) ahli biokimia dan (b) mereka yang bertugas bersama individu di klinik, pusat pemakanan, pusat kecergasan dan sebagainya (model dua bahagian).
· Model biokimia – Secara biokimia, badan manusia terdiri daripada empat unsur utama iaitu air, protein, mineral dan lemak.
· Walaupun model ini berfaedah untuk perbandingan umum, kegunaannya adalah terhad kerana data analisis biokimia yang diperolehi hanyalah dari sekumpulan individu yang kecil, yang mana mungkin tidak mewakili populasi norma.
· Model dua bahagian adalah merujuk kepada pembahagian jisim badan kepada komponen lemak dan otot.
· Komponen tanpa lemak adalah dirujuk sebagai jisim badan bebas lemak manakala komponen yang satu lagi dikenali sebagai jisim berlemak.
2 Kaedah menganggar komposisi badan
· Kaedah yang lazim digunakan bagi menganggar komposisi badan dalam individu adalah secara tidak langsung.
· Kaedah timbangan dalam air (hydrostatic) – menganggar ketumpatan badan dan menukar nilai kepada peratusan lemak badan.
· Kaedah pencairan isotop – menganggar jumlah air di dalam badan, yang mana ini ditukar kepada jisim bebas lemak (fat-free mass).
· Kaedah pengaktifan neutron – menggunakan isotop nitrogen dan kalsium untuk menganggar tisu tanpa lemak dan mineral.
· Kaedah pengkonduksian elektrik badan dan bioelectrical impedance – menganggar jisim bebas lemak (tisu tanpa lemak akan mengalirkan elektrik lebih mudah berbanding tisu berlemak).
· Kaedah ultrasound – menganggar lemak, otot dan tulang.
· Kaedah radiografi – menganggar lemak, otot dan tulang.
· Kaedah antropometri – menganggar lemak dan meramal jisim bebas lemak.
· Pengukuran ketumpatan badan:
- Ketumpatan = jisim per unit isipadu.
- Ketumpatan lemak = 0.90 g/cm3 dan adalah lebih rendah daripada air (1.0 g/cm3), dan lebih rendah daripada tisu tanpa lemak (1.10 g/cm3).
- Badan yang berketumpatan rendah mempunyai lebih lemak berbanding badan yang berketumpatan tinggi.
- Ketumpatan adalah berkadar songsang dengan lemak badan.
- Densitometri adalah merujuk kepada pengukuran ketumpatan badan.
- Ketumpatan digunakan untuk menganggar peratus berat badan yang terdiri daripada lemak.
· Mengukur jumlah air dalam badan:
- Air adalah komposisi terbesar dalam badan.
- Kebanyakan air di dalam badan adalah di dalam tisu tanpa lemak. Oleh itu pengukuran jumlah air dalam badan memberi satu cara untuk menganggar jisim bebas lemak.
· Mengukur kalium dalam badan
- Kalium banyak dijumpai dalam sel-sel, khususnya di tisu otot. Oleh itu pengukuran kepekatan kalium dalam badan boleh memberi satu anggaran jisim bebas lemak.
· Aplikasi kaedah pengukuran pada kanak-kanak
- Kaedah-kaedah pengukuran yang sedia ada yang dilaksanakan ke atas orang dewasa tidak semestinya sesuai dengan kanak-kanak.
- Antara perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan adalah:
….> Adakah ketumpatan lemak dan tisu bebas lemak, kandungan air dan kalium di dalam jisim bebas lemak sama dalam dewasa dan kanak-kanak?
….> Bilakah ketumpatan, kepekatan air dan kalium dalam tisu tanpa lemak dicapai dalam dewasa?
….> Kaedah densitometri adalah lambat dan memerlukan subjek kajian menjalani latihan keselesaan dengan prosedur.
….> Kaedah ini hanya terhad kepada kanak-kanak berumur 7 atau 8 tahun dan bukannya lebih muda.
….> Penggunaan kaedah kalium adalah sangat mahal dan sensitif, dan tempoh pengukurannya amat bergantung kepada saiz subjek.
….> Kanak-kanak mungkin tidak berupaya berada di dalam keadaan tetap untuk suatu tempoh yang lama semasa pengukuran dilaksanakan.
….> Pengukuran jumlah air dalam badan memerlukan subjek berpuasa semalaman sebelum pengukuran dapat dilaksanakan.
3 Pertumbuhan jisim bebas lemak, jisim lemak dan peratus lemak
  • Jisim bebas lemak (fat-free mass)
§ Jisim bebas lemak mengikuti satu pola pertumbuhan seperti dalam ketinggian dan berat badan, dan perbezaan jantina memainkan peranan utama semasa pertumbuhan remaja.
§ Pada peringkat awal dewasa, perempuan mencapai nilai jisim bebas lemak lebih awal, antara umur 15 ke 16 tahun berbanding lelaki pada umur antara 19 ke 20 tahun.
§ Pada peringkat lewat remaja, lelaki, pada puratanya mempunyai jisim bebas lemak 1.5 kali lebih berbanding perempuan.
§ Perbezaan ini menunjukkan pertumbuhan pesat jisim otot dalam remaja.
§ Selepas 14 tahun, lelaki mempunyai jisim bebas lemak yang lebih berbanding perempuan dengan ketinggian yang sama.
  • Jisim lemak (fat mass)
§ Anggaran jisim lemak meningkat pada 2 atau 3 tahun pertama dalam hidup dan kemudiannya tidak menunjukkan perubahan antara 5 – 6 tahun.
§ Jisim lemak perempuan mula meningkat dengan pesat berbanding lelaki di peringkat remaja, dan mula malar apabila lelaki mengalami pertumbuhan pesat di antara 13 – 15 tahun.
§ Peratus lemak meningkat dengan pesat dalam kedua-dua jantina semasa bayi, dan mula berkurangan semasa awal kanak-kanak.
§ Perempuan pada puratanya menunjukkan peratus lemak yang lebih sedikit berbanding lelaki semasa peringkat bayi dan awal kanak-kanak, tetapi dari 5 – 6 tahun sehingga remaja, perempuan mempunyai peratus lemak yang lebih berbanding lelaki.
§ Dalam lelaki, peratus lemak berada di tahap paling rendah pada 16 – 17 tahun, dan seterusnya meningkat apabila berada di peringkat awal dewasa.
Perubahan tisu adipos semasa pertumbuhan
(Adipose tissue changes during growth)
1 Jenis tisu adipos
· Tisu adipos adalah komponen fungsi dan struktur jisim lemak.
· Terdapat dua jenis tisu adipos iaitu tisu adipos perang dan tisu adipos putih.
· Tisu adipos putih:
- Terdiri daripada sel lemak (adipocytes) yang mengandungi satu titisan lemak besar, dalam bentuk trigliserida.
- Nukleus adiposit dan organel sel sitoplasma (iaitu mitokondria dan lain-lain) dimampatkan ke bahagian luar sel antara titisan lipid dan membran sel.
- Tisu aktif metabolisme (dalam metabolisme glukosa, asid lemak, lipoprotein dan kolesterol).
- Terdapat di seluruh badan.
- Kebanyakannya boleh dijumpai di dalam ginjal, jantung, hati dan organ-organ lain, tetapi sebaran terbesar adalah di lapisan bawah kulit.
- Tisu yang penting dalam metabolisme dan setor simpanan tenaga.
- Memberi perlindungan dan penebat ke atas badan dan organ-organ penting.
· Tisu adipos perang:
- Mengandungi beberapa titisan lipid dan bukannya dalam satu vakuol lipid yang besar.
- Nukleus tidak dimampatkan seperti dalam tisu adipos putih.
- Mengandungi lebih mitokondria yang lebih besar dan berstruktur kompleks berbanding tisu adipos putih.
- Fungsi utama bukan untuk simpanan lipid tetapi untuk menjana haba (thermogenesis).
- Banyak terdapat di dalam haiwan yang tinggal di persekitaran sejuk, and haiwan yang berhibernasi.
- Lebih kecil daripada sel adipos putih. Diameternya berjulat antara 15 – 50 mikrometer.
- Warna perang adalah disebabkan oleh kepekatan tinggi sitokrom dan enzim sitokrom dalam mitokondria, serta kandungan hemoglobin dalam tisu.
- Dalam badan manusia, tisu ini didapati pada tempat-tempat tertentu, khususnya di bahagian belakang leher, dan bahagian belakang interscapula bayi yang baru dilahirkan.
- Diberkaskan antara sel dan kapilari.
- Mempunyai kaitan dengan sistem saraf simpatetik serta mempunyai reseptor sel yang berupaya bertindak balas terhadap hormon seperti noradrenalin.
- Menyimpan lemak untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk aktiviti metabolisme tisu lain.
2 Perkembangan tisu adipos dalam pranatal
· Tisu adipos putih telah didapati di bahagian abdomen bayi semasa minggu ke-14 kehamilan.
· Tidak terdapat perbezaan dalam tisu adipos putih antara jantina.
· Dalam perkembangan awalan bayi, adiposit mempunyai beberapa titisan lipid yang bergabung untuk membentuk satu sel dengan satu titisan.
· Selepas minggu ke-23 kehamilan, aktiviti utama yang menyumbang kepada pencapaian pesat berat badan adalah pengembangan adiposit dan pemberkasan tisu adipos.
· Adalah dianggarkan bayi yang baru dilahirkan mempunyai hampir 5 bilion adiposit.
· Perbezaan kandungan lemak badan kelihatan lebih berkait dengan kandungan trigliserida adiposit berbanding perubahan sel atau bilangan sel dalam tisu.
· Secara umumnya, adiposit dalam fetus adalah lebih kecil berbanding dewasa, tetapi pada peringkat lewat fetus, satu populasi adiposit besar yang mengandungi lipid kelihatan lebih jelas.
· Tenaga yang tersimpan ini adalah penting bagi bayi semasa proses transisi dari persekitaran terlindung ke persekitaran terbuka dalam hidup.
· Selepas kelahiran, bayi perlu bergantung pada bahan metabolisme karbohidrat yang cepat kehabisan dan trigliserida yang tersimpan di dalam adiposit menjadi sumber yang penting.
· Oleh itu adiposit di dalam bayi harus berupaya berfungsi dengan cekap untuk memenuhi keperluan tenaga ini.
3 Sifat-sifat tisu adipos dalam pascanatal
· Tisu adipos perang:
- Terdapatnya satu jumlah yang kecil tisu adipos perang dalam bayi yang baharu dilahirkan, iaitu sebanyak 1% berat badan, atau 25g di dalam bayi yang dilahirkan penuh seberat 3500g.
- Tisu ini berfungsi sebagai satu mekanisme perlindungan dalam bayi tidak cukup bulan kerana menghadapi persekitaran luar yang mencabar.
- Sejurus selepas kelahiran, tisu ini akan hilang dari badan, tetapi sebilangannya akan kekal berada di organ-organ dalaman seperti ginjal.
· Tisu adipos putih:
- Tisu ini berkembang dengan suatu kuantiti simpanan lipid yang meningkat akibat perubahan interaktif dalam saiz adiposit dan sel organ tisu adipos.
- Bilangan adiposit meningkat dari 5 bilion semasa kelahiran ke 30 – 50 bilion di peringkat dewasa (yang tidak gemuk).
- Diameter purata adiposit meningkat dari 30 – 40 mikrometer semasa kelahiran ke 80 – 90 mikrometer di peringkat awal dewasa.
- Organ adipos terdiri daripada 0.5kg lemak semasa kelahiran di dalam kedua-dua jantina, dan meningkat ke 10kg di dalam lelaki dan 14kg di dalam perempuan di peringkat awal dewasa.
- Hipertropi adiposit akan merangsang pembahagian sel di dalam adifoblas (adiphoblast) dan seterusnya meningkatkan bilangan praadiposit dan adiposit.
4 Sebaran lemak semasa pertumbuhan
  • Sebaran lemak adalah sebaran kilang-kilang lemak di dalam badan.
  • Kilang-kilang lemak yang tersebar di tempat-tempat yang berlainan mempunyai sifat-sifat metabolisme yang tersendiri.
  • Lemak dalaman dan lemak lapisan bawah kulit:
- Lemak dalaman, juga dikenali sebagai lemak jantung (visceral), omental.
- Pengukuran langsung lemak dalaman boleh dilakukan secara analisis pada mayat dan tomografi.
- Inferensi tentang perubahan lemak dalaman semasa pertumbuhan boleh dibuat berdasarkan nisbah lemak lapisan bawah kulit kepada jisim lemak keseluruhan.
- Kadar pengumpulan lemak dalaman adalah lebih cepat berbanding lemak lapisan bawah kulit semasa kanak-kanak bagi kedua-dua jantina.
- Selepas 13 – 14 tahun, nisbah akan meningkat bagi lelaki, dan ini menunjukkan perubahan dalam penyebaran lemak lapisan bawah kulit di bahagian hujung anggota dan badan lelaki.
· Lemak lapisan bawah kulit dan topografi lemak:
- Data radiografik telah menunjukkan bahawa perempuan mempunyai lebih lemak lapisan bawah kulit berbanding lelaki dari awal bayi sehingga 18 tahun.
- Selepas peningkatan pesat lemak lapisan bawah kulit dalam tempoh 6 bulan pertama , kedua-dua jantina mengalami penurunan pada 6 – 7 tahun.
- Perempuan akan menunjukkan peningkatan linear sehingga remaja, manakala lelaki menunjuk sedikit peningkatan antara 7 – 12/13 tahun, dan seterusnya penurunan semasa remaja.
- Data lipatan kulit menunjukkan perempuan mempunyai lebih lemak lapisan bawah kulit berbanding lelaki antara 4 – 18 tahun.
- Antara 4 – 7 tahun, jumlah 10 lipatan kulit menunjukkan kestabilan dalam kedua-dua jantina dan ini adalah selaras dengan dapatan radiografik.
- Lemak lapisan bawah kulit meningkat secara linear dalam perempuan antara 6 – 7 tahun sehingga remaja.
- Pada lelaki pula, jumlah lipatan kulit meningkat dari 7/8 – 13 tahun dan seterusnya menunjukkan penurunan di umur 15 tahun.
- Perubahan ini telah menunjukkan dua faktor iaitu (i) terdapatnya lebih tempat lipatan kulit (10) berbanding radiografik (5); (ii) tempat radiografik adalah terhad kepada hujung anggota tetapi tempat lipatan kulit tersebar dengan sekata antara hujung anggota dan badan.
· Perubahan di dalam jumlah sebaran lemak lapisan bawah kulit berlaku semasa pertumbuhan.
· Perempuan mempunyai lebih lemak lapisan bawah kulit berbanding lelaki di semua peringkat umur, khususnya di peringkat remaja.
· Perbezaan lemak lapisan bawah kulit kelihatan lebih ketara antara kedua-dua jantina di bahagian hujung anggota berbanding badan.
· Oleh itu terdapat satu perbezaan yang ketara antara jantina di dalam sebaran lemak di dalam remaja.
· Lelaki mempunyai lebih lemak lapisan bawah kulit di badan berbanding hujung anggota.
        Bilangan sel lemak (x 109)
Tajuk 5 Perkembangan fungsi anatomi dan fisiologi
(Functional development)
1. Perubahan jantung, darah dan paru-paru semasa pertumbuhan
(Heart, blood and lungs)
Ciri-ciri peredaran darah fetus
· Jantung dan salur darah adalah terbentuk daripada sel-sel embrio mesodermal.
· 3 minggu selepas persenyawaan, salur jantung primitif mula terbentuk.
· Sejurus selepas itu, jantung ini mula berdenyut.
· Salur ini akan tumbuh dan membentuk kaviti perikardial.
· Jantung akan membentuk struktur umumnya pada penghujung minggu ke-6 selepas persenyawaan, dan salur-salur darah utama terbentuk pada minggu ke-8.
· Salur jantung primitif akan melipat dan menyimpul dengan sendirinya lalu membentuk 4 ruang yang jelas.
· Kedua-dua proses ini mengakibatkan 4 ruang jantung tersusun pada kedudukan yang betul dalam kaviti perikardial bersama-sama salur-salur darah utama jantung.
· Pelbagai jenis penyakit jantung kongenital yang wujud adalah hasil daripada proses embrio yang terganggu.
· Sistem peredaran fetus yang utama dapat diperhatikan dalam gambarajah di bawah.
· Plasenta (uri) merupakan penghubung antara peredaran fetus dan ibu.
· Vena umbilical membawa oksigen dan nutrien dari plasenta ke fetus, dan dua arteri umbilical membawa darah tanpa oksigen dari fetus ke plasenta untuk dioksigenkan dan pembuangan bahan-bahan kumuh ke dalam peredaran ibu.
· Hanya sejumlah kecil keluaran kardiak fetus yang melalui paru-parunya kerana terdapatnya halangan (pemisah) yang mengalihkan darah dari sebelah kanan ke sebelah kiri.
· Foramen ovale adalah penghalang pertama, yang merupakan satu bukaan sehala di dalam septum yang membahagikan atria kanan dan kiri.
· Ductus arteriosus adalah penghalang kedua, di mana sejumlah kecil darah yang dipamkan oleh ventrikel kanan mengalir ke aorta dan bukannya ke arteri pulmonari. Duktus adalah satu salur kecil yang menghubungkan arteri pulmonari utama dengan aorta.
· Adalah dianggarkan sejumlah 10% - 15% darah yang dipamkan oleh jantung telah melalui paru-paru semasa fetus.
· Ductus venosus adalah satu salur sementara yang membenarkan sedikit darah mengalir dari vena umbilical terus ke vena kava inferior dan atrium kanan.
· Darah di dalam vena umbilical mempunyai 70% oksigen tepu manakala tisu periferi hanya mempunyai antara 55% - 60%.
Perubahan saiz jantung
· Dalam hidup fetus, jantung sebelah kanan mempunyai isipadu yang hampir sama dengan sebelah kiri.
· Selepas kelahiran, pertumbuhan ventrikel kiri adalah lebih pesat berbanding sebelah kanan.
· Isipadu jantung pada masa kelahiran adalah lebih kurang 40cm3.
· Jumlah ini akan berganda menjelang 6 bulan, 4 kali ganda pada tahun 2 dan akan mencapai antara 600 – 800 cm3 dalam dewasa.
Perubahan fungsi jantung
(i) Denyutan nadi
- Purata kadar nadi dalam bayi yang baru dilahirkan adalah 140 dsm.
- Kadar dasar nadi menurun dari 140 dsm (kelahiran) ke 100 dsm (1 tahun), dan menurun seterusnya ke 80 dsm (6 tahun) dan 70 dsm (10 tahun).
(ii) Isipadu strok dan keluaran kardiak
- Isipadu strok: Isipadu darah yang dipamkan oleh ventrikel kiri pada satu penguncupan, meningkat dari peringkat kanak-kanak ke remaja.
- Jumlahnya adalah antara 3 – 4ml (kelahiran) dan meningkat 10 kali ganda iaitu 40ml di peringkat sebelum remaja.
- Keluaran kardiak: Keluaran darah dari ventrikel kiri dalam satu minit.
- Keluaran kardiak adalah 0.5L/min (kelahiran) manakala di peringkat dewasa adalah 5L/min.
(iii) Tekanan darah
- Tekanan darah sistemik dalam fasa-fasa diastolik dan sistolik penguncupan otot jantung meningkat semasa pertumbuhan.
- Tekanan darah sistolik dalam bayi berubah-ubah antara 40 – 75mmHg.
- Dalam lewat bayi, tekanan darah ini meningkat ke 80mmHg dan tekanan darah diastolik meningkat ke 50 – 55mmHg.
- Tekanan darah sistolik meningkat lebih daripada tekanan darah diastolik semasa peringkat kanak-kanak ke remaja.
Ø Semasa pertumbuhan, saiz jantung bertambah dan ini ada berkait dengan jisim badan. Ini bererti saiz jantung adalah berkadaran dengan jisim badan.
Ø Jantung secara progresifnya akan disesuaikan dengan penambahan kerja, walaupun dalam keadaan rehat.
Perubahan ciri-ciri darah semasa pertumbuhan
(i) Isipadu darah
- Dalam kanak-kanak, isipadu darah berkait rapat dengan jisim badan dan saiz jantung.
- Dalam orang dewasa secara puratanya terdapat 5L darah di mana 3L adalah plasma dan bakinya adalah sel, khususnya sel darah merah.
- Bayi yang baru dilahirkan mempunyai antara 300 – 400ml darah dalam badan.
(ii) Komposisi darah
- Salah satu ciri penting darah adalah hematocrit iaitu peratus isipadu darah yang mengandungi sel darah merah (eritrosit).
- Secara puratanya, lelaki dewasa mempunyai 40% - 45% berbanding perempuan dewasa yang mempunyai 38% - 42%.
- Kedua-dua sel darah merah dan hemoglobin mempunyai peranan utama dalam pengangkutan oksigen ke tisu-tisu badan.
- Dalam lelaki dewasa, bilangan sel darah merah adalah sebanyak 5.5 juta/mikroliter dan 4.6 juta/mikroliter dalam perempuan dewasa.
- Sel darah merah dihasilkan oleh sumsum tulang dalam bayi dan awal kanak-kanak. Menjelang umur 5 tahun, penghasilannya berkurangan.
- Eritrosit tidak mempunyai nukleus tetapi penuh dengan hemoglobin dan komponen-komponen sitoplasma.
- Eritrosit mempunyai hayat antara 110 – 120 hari.
- Jumlah kandungan hemoglobin dalam darah adalah berkait dengan pengambilan maksimum oksigen, isipadu jantung dan jisim tubuh.
- Sel darah putih (leukosit) juga berubah semasa pertumbuhan.
- Dalam kelahiran jumlah bilangan mencapai sehingga 40 ribu/mikroliter, tetapi di peringkat dewasa bilangannya adalah 8 ribu/mikroliter.
- Bilangan platelet tidak menunjukkan banyak perubahan sejak lahir hingga dewasa, iaitu sekitar 350 ribu/mikroliter.
(iii) Lipid darah dan lipoprotein
- Lipid darah dan lipoprotein sering dikaitkan dengan pelbagai masalah metabolisme di peringkat dewasa, termasuklah arteriosklerosis yang berkait dengan tabiat pemakanan dan tahap aktiviti fizikal.
- Trigliserida adalah molekul lemak dan kolesterol bersifat seperti molekul lemak dalam banyak aspek.
- Kedua-dua bahan ini tidak larut air dan diangkut dalam darah bersama protein.
- Lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL-cholesterol), mempunyai lebih protein berbanding kolesterol.
- Lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-cholesterol) dan lipoprotein berketumpatan sangat rendah (vLDL-cholesterol), mempunyai lebih kolesterol berbanding protein. Tahap LDL yang tinggi sering dikaitkan dengan arteriosklerosis.
- Bayi perempuan mempunyai tahap lipid darah dan kolesterol yang lebih daripada lelaki semasa kelahiran.

Perubahan fungsi paru-paru dan pernafasan semasa pertumbuhan
(i) Perkembangan dan pertumbuhan paru-paru
- Paru-paru mula bertumbuh sebaik sahaja berlakunya persenyawaan.
- Pembentukannya bermula sebagai satu kantung di minggu ke-4 dan seterusnya terbahagi kepada dua.
- Pada minggu ke-16, ‘pokok’ bronkiol mula terbentuk dan 3 bulan terakhir fetus, alveoli mula terbentuk. Kebanyakannya terbentuk dengan lengkap semasa pasca natal.
- Paru-paru fetus terdiri daripada cecair, termasuk cecair amniotik dan komponen darah.
- Kebanyakan cecair ini dikeluarkan apabila toraks ditekan dalam proses kelahiran, dengan bakinya dikeluarkan melalui salur limfa.
- Pergerakan pernafasan yang dapat dikesan dalam fetus menunjukkan bahawa pusat pernafasan di otak dan mekanisme otot-saraf yang perlu untuk proses ini telah wujud sebelum kelahiran.
- Paru-paru manusia adalah seberat 60 – 70g semasa kelahiran dan jisim ini meningkat sebanyak 20 kali ganda sebelum kematangan.
- Bilangan alveoli meningkat dari 20 juta (kelahiran) ke 300 juta (umur 8 tahun).
- Isipadu paru-paru adalah lebih daripada jisim paru-paru.
- Bayi yang baru dilahirkan boleh menyedut sebanyak 3ml udara segram tisu manakala orang dewasa adalah antara 8 – 10ml.
(ii) Fungsi pernafasan
- Proses respiratori melibatkan dua komponen.
- Pertama, melibatkan paru-paru di mana pemindahan oksigen dan karbon dioksida antara kanak-kanak dan ruang persekitarannya.
- Kedua, melibatkan pengangkutan gas dalam darah ke dan dari tahap sel-sel atau dikenali sebagai respirasi selular.
- Mekanisme pernafasan termasuklah:
Ø Pusat respiratori terletak di dalam tunjang otak
Ø Reseptor regang di dalam paru-paru, yang mengalirkan impuls proprioseptif melalui saraf vagus
Ø Reseptor kimia karotid dan aortik, akan terangsang apabila kandungan oksigen dalam darah menurun
Ø Pusat respiratori di dalam tunjang otak dan pusat reseptor kimia, akan terangsang apabila kandungan karbon dioksida dalam darah meningkat atau pH darah menurun
- Kekerapan pernafasan semasa kelahiran adalah sebanyak 40 nafas seminit dan kadar ini menurun ke 30 nafas seminit menjelang umur satu tahun. Di antara umur 5 – 6 tahun, kekerapan adalah sebanyak 22 nafas seminit dan seterusnya menurun ke 16 atau 17 nafas seminit.
- Isipadu sisa (residual volume) adalah isipadu gas yang berada di dalam paru-paru selepas satu hembusan maksimum.
- Isipadu tidal (tidal volume) adalah purata isipadu udara yang dihembus semasa pernafasan normal.
- Isipadu simpanan tarikan nafas (inspiratory reserve volume) adalah isipadu maksimum gas yang boleh ditarik masuk dari paras normal pernafasan isipadu tidal.
- Isipadu simpanan hembusan (expiratory reserve volume) adalah isipadu maksimum gas yang boleh dihembus dari paras normal pernafasan isipadu tidal.
- Kapasiti vital (vital capacity) adalah isipadu maksimum gas yang boleh dikeluarkan dari paru-paru hasil daripada tarikan nafas maksimum.
- Kapasiti pernafasan (inspiratory capacity) adalah isipadu maksimum gas yang boleh disedut.
- Kapasiti sisa fungsi (functional residual capacity) adalah isipadu gas yang tertinggal di dalam paru-paru selepas satu pernafasan normal.
2. Perkembangan motor
(Motor development)
Perkembangan dan penghalusan lakuan kemahiran di dalam aktiviti motor adalah penting dalam perkembangan dunia kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti motor ini merupakan sebahagian utama dalam tingkah laku kanak-kanak dan memberi peluang untuk mereka mengalami persekitaran yang mencabar, khususnya semasa prasekolah. Perkembangan motor merupakan satu proses di mana kanak-kanak memperolehi kemahiran dan pola pergerakan. Ini dicirikan dengan suatu modifikasi berterusan yang berasaskan kepada:
· Proses kematangan otot-saraf yang berkemungkinan diselaraskan secara genetik
· Sifat-sifat kematangan dan pertumbuhan dalam kanak-kanak (cthnya: saiz dan komposisi badan)
· Kesan sampingan pengalaman motor yang terdahulu
· Pengalaman motor yang terkini
Kemahiran dan pola pergerakan
· Pola motor adalah merujuk kepada pergerakan asas dalam melaksanakan sesuatu tugas.
· Dalam kemahiran motor, penekanan adalah pada ketepatan, kejituan, dan prestasi.
Klasifikasi aktiviti motor
(i) Aktiviti motor halus dan kasar
· Motor halus adalah pergerakan yang memerlukan kejituan dan kemahiran seperti dalam tugasan manipulatif.
· Motor kasar adalah pergerakan yang melibatkan seluruh badan atau anggota badan seperti dalam aktiviti lokomotor.
· Kebanyakan lakuan motor merangkumi unsur-unsur motor kasar dan halus.
(ii) Pola motor asas
· Ini adalah merujuk kepada bentuk pergerakan asas.
· Bentuk pergerakan asas ini terdiri daripada lokomotor, bukan lokomotor dan manipulatif.
· Bentuk pergerakan asas boleh terdiri daripada gabungan mana-mana aspek yang disenaraikan.
(iii) Proses dan hasil pergerakan
· Proses pergerakan melibatkan:
- teknik sesuatu pergerakan, contohnya putaran pinggul, aksi lengan, aksi kaki, dan sebagainya
- mekanik sesuatu pergerakan, contohnya sudut lonjakan , panjang tuas lengan, sudut antara sendi, dan sebagainya
· Hasil pergerakan tertumpu kepada keputusan akhir sesuatu lakuan, contohnya jarak lompatan, catatan masa larian, dan sebagainya.
Pantulan dalam bayi yang baru dilahirkan
· Tindak balas motor bayi yang baru dilahirkan adalah sambungan daripada apa yang telah wujud semasa dalam keadaan fetus.
· Pola ini wujud dalam bentuk pantulan semasa kelahiran.
· Sesetengah pantulan ini adalah berbentuk mudah dan dikawal oleh saraf tunjang manakala sebahagiannya adalah kompleks dan memerlukan integrasi otak dan pusat saraf yang lain.
· Pantulan Moro (Moro reflex) adalah pola pantulan yang wujud dalam bayi sejak lahir ke 3 bulan.
· Pantulan Startle (Startle reflex) wujud akibat bunyian yang kuat dan bayi akan bertindak balas dengan mengfleksikan anggota badan.
· Pantulan genggaman (palmar grasp reflex) berlaku apabila sesuatu objek diletakkan pada tapak tangan bayi.
· Pantulan leher (tonic neck reflex) mula kelihatan selepas beberapa bulan dilahirkan. Apabila kepala bayi dipusingkan ke sebelah, bayi akan bertindak balas dengan memanjangkan kaki dan lengan pada bahagian yang dipusingkan dan fleksi pada bahagian yang bertentangan.
· Pantulan righting adalah berkait dengan hubungan antara kepala dengan anggota badan.
· Pantulan labyrinthine adalah berkait dengan orientasi badan terhadap daya graviti.
· Pantulan primitif (primitive reflexes) yang terdiri daripada pantulan Moro, startle dan genggaman lazimnya terbentuk dengan sempurna sejak lahir sehingga bulan ke-3.
· Pantulan postur yang terdiri daripada pantulan leher, labyrinthine, righting mula terbentuk selepas bulan ke-3 dan seterusnya.
Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi perkembangan motor kanak-kanak
· Cara penjagaan
· Bilangan kelahiran
· Bilangan kanak-kanak dalam keluarga
· Peluang untuk pergerakan dan bermain secara aktif
· Status sosioekonomi
· Status pemakanan
· Persekitaran
· Biologikal (genotaip, saiz badan, komposisi badan)
· Persepsi kanak-kanak terhadap persekitarannya
Prinsip Perkembangan Motor
Arnold Gesell (1952), telah memperkenalkan 2 prinsip perkembangan motor yang berfokus pada perkembangan yang berlaku dalam dua tahun pertama selepas kelahiran bayi. Prinsip-prinsip tersebut adalah prinsip cephalocaudal dan prinsip proximodistal.
· Prinsip cephalocaudal
Cephalocaudal adalah gabungan dua perkataan Latin iaitu:
cephalo = kepala dan caudal = penghujung saraf tunjang
Perkembangan cephalocaudal adalah merujuk kepada perkembangan kawalan otot secara beransur-ansur dari bahagian kepala ke bawah sehingga ke hujung jari kaki. Contohnya, dalam perkembangan janin, bahagian kepala terbentuk dahulu, diikuti bahagian tangan dan seterusnya pada bahagian kaki.
Kawalan motor bermula dari bahagian kepala, leher dan badan sebelum dapat mengawal bahagian kaki seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.
Aktiviti
Umur
· Kawalan kepala
· Bergolek
· Duduk
· Berdiri dengan bantuan
· Menyusup dan merangkak
· Berdiri sendiri
· Berjalan dan berlari
- Dengan bantuan
- Sendiri
- Berlari kekok
- Berlari dengan baik
· Melompat
· Semasa kelahiran
· 5 – 6 bulan
· 6 – 6.5 bulan
· 8 bulan
· 9 – 10 bulan
· 13 – 14 bulan
· 9 – 11 bulan
· 18 bulan
· 20 bulan
· 20 bulan
· 20 bulan

· Prinsip proximodistal
Proximadistal adalah juga gabungan dua perkataan Latin iaitu:
proximo = hampir dan distal = jauh
Perkembangan proximodistal adalah merujuk secara khusus perkembangan kawalan otot secara beransur-ansur dari bahagian tengah (paksi) badan ke bahagian yang menjauhi paksi badan. Contohnya, kanak-kanak dapat mengawal otot-otot pada bahagian atas badan dan bahu sebelum mereka dapat mengawal otot-otot pada bahagian lengan, tangan dan jari.
Aktiviti
Umur
· Menggenggam objek tetapi tidak boleh mengutipnya
· Menggenggam objek besar dengan sebelah tangan dan memindah ke tangan yang lain
· Memegang objek kecil tetapi tidak dapat mengutip
· Berupaya mencubit objek kecil
· Dapat memasukkan objek kecil ke dalam botol
· 4 bulan
· 6 – 6.5 bulan
· 7 bulan
· 9 bulan
· 15 bulan
3. Prestasi motor dan kekuatan
(Strength and motor performance)
Perkembangan kemahiran motor asas kanak-kanak lazimnya terbentuk menjelang umur 6 – 7 tahun. Komponen kekuatan diambil kira dalam prestasi motor kanak-kanak kerana ini merupakan satu komponen penting dan juga prestasi motor sering digunakan sebagai satu petunjuk kepada kekuatan otot. Kekuatan adalah daya otot atau kebolehan seseorang individu membentuk tekanan terhadap rintangan luaran. Terdapat beberapa jenis kekuatan iaitu kekuatan statik, dinamik dan letusan (kuasa).
Kekuatan statik atau isometrik adalah daya yang dikenakan ke atas rintangan luaran tanpa sebarang perubahan pada panjang otot. Lazimnya kekuatan jenis ini diukur pada kumpulan otot yang khusus, contohnya kekuatan genggaman, kekuatan fleksi atau ekstensi lutut. Kuasa adalah kemampuan otot melepaskan daya maksimum dalam suatu tempoh yang singkat. Contohnya, pengukuran lompat jauh berdiri. Kekuatan dinamik adalah daya yang dibentuk hasil daripada penguncupan otot yang berterusan. Contohnya, pengukuran tekan tubi dan mendagu. Daya tahan otot adalah merujuk kepada kebolehan mengulangi atau mengekalkan penguncupan otot untuk suatu tempoh masa yang lama. Contohnya, gantung siku bengkok.
Ujian prestasi yang merangkumi kemahiran motor asas lazimnya melibatkan kawalan motor dan kekuatan. Melompat melibatkan koordinasi motor dan kuasa otot untuk membolehkan badan bergerak mendatar ke hadapan seperti di dalam lompat jauh berdiri. Membaling melibatkan koordinasi dan kuasa dalam melepaskan balingan sesuatu objek. Lari pecut adalah ujian yang melibatkan kepantasan manakala lari ulang alek melibatkan ketangkasan. Imbangan adalah perl dalam prestasi aktiviti motor sama ada dalam bentuk statik atau dinamik manakala kelenturan melibatkan julat pergerakan sendi di pelbagai bahagian badan. Lain-lain kemahiran motor asas yang boleh diuji termasuklah menendang untuk jarak, menyambut bola yang dilambung, ‘hopping’ atau ‘skipping’, membaling untuk ketepatan dan sebagainya.
Prestasi motor di peringkat awal kanak-kanak
· Kekuatan otot meningkat di peringkat ini.
· Lelaki menunjukkan peningkatan yang lebih berbanding perempuan di dalam aktiviti berlari, melompat dan membaling.
· Perempuan menunjukkan prestasi yang lebih baik di dalam aktiviti imbangan berbanding lelaki di antara umur 3 – 5 tahun, dan lebih baik di umur 6 tahun.
· Secara puratanya, lelaki menunjukkan prestasi yang cemerlang di dalam aktiviti yang melibatkan kuasa dan kelajuan manakala perempuan lebih ke arah aktiviti imbangan.
Prestasi motor di peringkat pertengahan kanak-kanak dan remaja
· Kekuatan dan prestasi motor lazimnya meningkat mengikut umur. Walau bagaimanapun, pola peningkatan ini berbeza mengikut aktiviti.
· Kekuatan lelaki meningkat secara linear mengikut umur sehingga 13 atau 14 tahun di mana peningkatan adalah mendadak manakala kekuatan perempuan meningkat secara linear mengikut umur sehingga 16 atau 17 tahun.
· Daya tahan otot lelaki meningkat secara linear dari 5 sehingga 13 atau 14 tahun di mana peningkatan mendadak berlaku selepas itu manakala daya tahan otot perempuan meningkat secara linear mengikut umur.
· Dalam komponen kelenturan, perempuan didapati lebih lembut daripada lelaki di semua peringkat umur, dan ini amat ketara di peringkat pertumbuhan pesat remaja dan kematangan seksual.
· Tempoh antara 5 hingga 8 tahun adalah suatu tempoh perubahan di dalam perkembangan kekuatan dan prestasi motor. Pola pergerakan asas mula matang pada tempoh ini dan amat berbeza dalam setiap kanak-kanak.
4. Prestasi aerobik
(Aerobic performance)
Petunjuk prestasi aerobik semasa pertumbuhan adalah merujuk kepada perubahan di dalam kardiovaskular, pulmonari, otot rangka, substrat, pengawalatur suhu badan.
Kuasa aerobik adalah kuasa maksimum tenaga yang dihasilkan dalam seminit oleh gentian otot yang berfungsi. Kapasiti aerobik adalah jumlah tenaga yang sedia ada untuk melaksanakan aktiviti aerobik.
Tiga petunjuk utama metabolisme aerobik semasa senaman di dalam individu yang membesar adalah:
(a) Adaptasi terhadap senaman submaksimum
Kajian telah menunjukkan bahawa tindak balas kardiovaskular dan pulmonari terhadap senaman di paras submaksimum berubah mengikut umur. Perubahan umur ini adalah lebih berkait kepada status kematangan biologikal dan jisim badan berbanding umur kronologi.
(b) Adaptasi terhadap senaman yang lama dan senaman bercorak daya tahan
Data kajian telah menyatakan bahawa senaman jangka masa panjang dapat diatasi oleh kanak-kanak dan remaja tanpa sebarang masalah. Dalam aspek pengawalatur suhu badan, lebih daripada 75% substrat yang ditukarkan kepada tenaga kimia semasa penguncupan otot rangka perlu dibebaskan sebagai haba. Kanak-kanak mempunyai luas permukaan yang lebih besar berbanding dewasa pada setiap kilogram jisim badan. Apabila kadar haba yang tinggi perlu dibebaskan, kanak-kanak mempunyai kelebihan kerana luas permukaan badannya berbanding dewasa tetapi mempunyai kapasiti perpeluhan yang kurang. Ini menyebabkan kanak-kanak kurang upaya untuk bergantungan pada proses sejatan peluh untuk membebaskan haba yang berlebihan. Oleh yang demikan, kanak-kanak tidak berupaya melakukan senaman di cuaca yang panas dan lama berbanding dewasa.
(c) VO2 max
Kuasa aerobik maksimum adalah berkait dengan saiz badan, kematangan dan jantina. Kuasa ini diukur pada kadar nadi maksimum senaman, yang lazimnya tinggi dalam kalangan kanak-kanak. Min kadar nadi maksimum kanak-kanak boleh mencapai antara 200 ke 215 dsm dan kadar ini menurun mengikut peningkatan umur. Menjelang lewat remaja kadar ini mencapai antara 190 ke 195 dsm. Keupayaan kanak-kanak menyesuaikan kapasiti aerobiknya adalah lebih baik berbanding dewasa. Semasa senaman, tempoh untuk kanak-kanak mencapai 50% kapasiti aerobik maksimum adalah lebih singkat berbanding dewasa.
Perubahan-perubahan ini akan memberi satu anggaran secara tidak langsung terhadap kapasiti aerobik kanak-kanak semasa pertumbuhan.
5. Prestasi anaerobik
(Anaerobic performance)
Penghasilan tenaga anaerobik adalah penting dalam pertumbuhan kanak-kanak kerana kebanyakan aktiviti mereka melibatkan penggunaan tenaga yang banyak, berintensiti tinggi dan jangka masa yang lama. Oleh yang demikian, sumber tenaga yang dihasilkan oleh pengoksidaan otot rangka adalah tidak mencukupi untuk menampung keperluan tenaga ini.
Semasa pertumbuhan penentu-penentu prestasi anaerobik seperti morfologi, fisiologi dan biokimia akan berubah. Jisim otot yang akan bertambah mengikut umur memberi satu kesan terus kepada penghasilan tenaga anaerobik. Kepekatan maksimum laktat darah meningkat mengikut umur semasa pertumbuhan. Kepekatan laktat otot semasa senaman submaksimum adalah lebih rendah dalam kanak-kanak berbanding dewasa. Oleh yang demikian, pemerhatian ini mencadangkan bahawa individu yang sedang membesar kurang bergantung pada metabolisme glikogen untuk menampung ATP yang digunakan semasa aktiviti aerobik dan anaerobik.

Tajuk 6 Kematangan/Proses matang
(Maturation)
1 Kematangan biologi: Konsep dan penilaian
§ Konsep kematangan bererti perkembangan ke arah keadaan yang matang.
§ Setiap individu dilahirkan dengan satu tempoh biologikal yang memastikan perkembangan ke arah keadaan matang.
§ Pertumbuhan biologikal dan kematangan seseorang kanak-kanak tidak semestinya bergerak seiring dengan tarikh atau umur kronologinya.
§ Sesetengah kanak-kanak akan berkembang lebih pesat dari aspek biologikal berbanding umur kronologinya. Dengan kata lain, walaupun dua orang kanak-kanak mempunyai umur kronologi yang sama, mereka tidak semestinya mencapai tahap kematangan biologikal yang sama pada umur tersebut.
§ Petunjuk atau indikator kematangan dalam kajian pertumbuhan lazimnya berdasarkan kematangan rangka, kematangan seksual dan kematangan somatik.
2 (a) Menilai kematangan rangka
§ Merupakan kaedah yang paling baik dalam penilaian umur biologikal atau status kematangan.
§ Rangka merupakan indikator yang ideal tentang kematangan kerana perkembangannya merangkumi tempoh pertumbuhan yang menyeluruh.
§ Semua kanak-kanak bermula dengan rangka rawan di peringkat pranatal dan berkembang menjadi rangka lengkap di peringkat awal dewasa.
§ Kadar di mana tulang berkembang dari rawan ke pembentukan tulang awalan, ke bentuk tulang yang pelbagai dan seterusnya ke peringkat dewasa berbeza antara tulang di dalam seseorang individu dan antara individu-individu.
§ Tulang-tulang tangan dan pergelangan tangan merupakan asas utama penilaian kematangan rangka di dalam kanak-kanak.
§ Pada lazimnya tulang-tulang tangan kiri dikaji dengan meletakknya di atas satu permukaan rata pada plet sinar-X.
(a) 3 tahun (b) 5 tahun
 (c) 14 tahun
§ Terdapat dua kategori tulang iaitu tulang panjang dan tulang bulat. Setiap tulang panjang merangkumi diafisis dan epifisis.
§ Tulang bulat adalah sebenarnya tulang tak sekata, yang kebanyakannya terletak di pergelangan tangan.
§ Indikator kematangan memberi 3 jenis maklumat yang digunakan untuk menentukan kematangan tulang.
§ Pertamanya, adalah kemunculan awal pusat tulang yang khusus pada sinar-X, yang menunjukkan penggantian rawan oleh tisu tulang di dalam tulang yang terlibat.
§ Keduanya, adalah definisi dan sifat-sifat setiap tulang berdasarkan perbezaan bentuk semasa perkembangannya semakin jelas di peringkat dewasa.
§ Ketiganya, melibatkan penggabungan epifisis dengan diafisis masing-masing di dalam metakarpal, falanks, radius dan ulna, dan pembentukan kontur dan bentuk karpal dewasa.
§ Terdapat 3 kaedah penilaian kematangan rangka iaitu (i) kaedah Greulich-Pyle, (ii) kaedah Tanner-Whitehouse dan (iii) kaedah Fels.
(b) Menilai kematangan seksual
§ Penilaian adalah berasaskan kepada perkembangan ciri-ciri seks sekunder iaitu perkembangan buah dada dan haid (perempuan), zakar dan buah zakar (lelaki) dan bulu pubik / kelamin (lelaki dan perempuan).
§ Penilaian ke atas seks sekunder ini hanya terhad sehingga peringkat remaja atau baligh. Oleh itu, indikator ini mempunyai had aplikasi dalam pertumbuhan sepanjang hayat.
§ Penilaian lazimnya dilaksanakan dalam 5 peringkat dan secara pemerhatian.
§ Peringkat 1 menunjukkan perkembangan prabaligh. Contohnya, alat kelamin lelaki adalah sama saiz di peringkat awal kanak-kanak.
§ Peringkat 2 menunjukkan perkembangan awalan setiap ciri – peningkatan awal buah dada (perempuan), pembesaran alat kelamin (lelaki), pemunculan bulu pubik (lelaki dan perempuan).
§ Peringkat 3 dan 4 menunjukkan kematangan berterusan setiap ciri dan adalah sukar untuk dinilai.
§ Peringkat 5 menunjukkan keadaan perkembangan matang atau dewasa bagi setiap ciri.
§ Perlu diingatkan bahawa kelima-lima peringkat yang dinyatakan adalah satu penilaian yang lazim hasil daripada pemerhatian. Setiap individu akan berkembang mengikut tahap kematangan masing-masing dan tidak semestinya semua ciri yang dinyatakan berkembang dari peringkat 1 ke 5.
§ Terdapat 2 kaedah menentukan umur yang dicapai berdasarkan kematangan seksual iaitu (i) kaedah status quo dan (ii) kaedah retrospective.
(c) Menilai kematangan somatik
§ Penggunaan ukuran badan sebagai indikator kematangan memerlukan data kajian berbentuk longitudinal.
§ Jika data yang diperolehi merangkumi zaman remaja, ketepatan ukuran anggota badan yang khusus semasa pertumbuhan pesat remaja ini boleh digunakan sebagai indikator kematangan somatik.
§ Pengukuran ketinggian merupakan aspek yang lazimnya digunakan sebagai penilaian kematangan somatik.
§ Umur di puncak halaju ketinggian (peak height velocity) adalah indikator yang lazim digunakan dalam kematangan somatik.
§ Ini adalah peringkat umur di mana ketinggian maksimum dicapai semasa pertumbuhan pesat remaja.
§ Anggaran umur yang sama boleh dibuat pada puncak halaju anggota lain seperti umur di puncak halaju pertumbuhan dalam panjang kaki, ketinggian berduduk, biacromial, bicristal, lebar, berat badan dan kekuatan otot.
§ Satu lagi indikator kematangan somatik boleh dikira berdasarkan peratusan ketinggian dewasa yang dicapai pada sesuatu peringkat umur.
3 Salingkaitan petunjuk / indikator kematangan
§ Secara umumnya, indikator kematangan rangka, seksual dan somatik semuanya berkait secara positif antara satu sama lain.
§ Dapatan kajian menunjukkan bahawa remaja yang matang cepat secara seksual akan mencapai ketinggian yang cepat semasa pertumbuhan pesat, dan sebaliknya.
§ Kematangan rangka juga berkait dengan perkembangan ciri-ciri seks sekunder.
§ Min umur kronologikal dan umur rangka pada setiap peringkat kematangan adalah rapat.
§ Variasi dalam umur rangka berkurangan pada peringkat haid dan pada 95% ketinggian matang.
§ Umur rangka mungkin berbeza dengan umur kronologi semasa awalan kematangan seksual, tetapi keadaan ini akan berubah apabila pertumbuhan pesat dan kematangan seksual remaja bermula.
§ Pertumbuhan prabaligh dan kematangan rangka adalah bergantungan pada rangsangan hormon pertumbuhan manakala kematangan seksual, ketinggian dan kematangan rangka di peringkat lewat adalah di bawah rangsangan hormon pertumbuhan dan hormon steroid.
§ Hormon steroid ini banyak dihasilkan oleh gonad semasa kematangan.
4 Pengaturan masa dan urutan perubahan dalam kematangan semasa remaja
§ Pertumbuhan pesat dalam ketinggian adalah indikator lazim yang digunakan untuk kematangan somatik.
§ Kelajuan pertumbuhan ketinggian akan mencapai stau peringkat maksimum dan seterusnya mula menurun.
§ Sesetengah kanak-kanak akan mencapai pertumbuhan pesat keremajaan semasa peringkat pertengahan kanak-kanak, iaitu lebih awal daripada julat umur yang lazim dalam transisi dari kanak-kanak ke remaja.
§ Perempuan akan matang lebih cepat daripada lelaki.
§ Dapatan kajian menunjukkan pertumbuhan maksimum dalam setiap tulang berlaku lebih cepat dalam perempuan berbanding lelaki.
§ Pertumbuhan maksimum diperolehi oleh tibia terdahulu dan kemudiannya femur, diikuti fibula dan tulang-tulang anggota atas.
§ Pertumbuhan ketinggian maksimum berlaku sama masanya dengan pertumbuhan maksimum humerus dan radius.
§ Oleh yang demikan, pada awal remaja, kanak-kanak akan mempunyai kaki yang panjang, kerana tulang-tulang anggota bawah mengalami pertumbuhan pesat lebih awal berbanding anggota atas.
§ VO2 max mutlak meningkat dari 1 tahun sebelum dan 1 tahun selepas haid dan kemudiannya akan berada di keadaan malar.
§ VO2 max relatif menurun dari 2 tahun sebelum haid ke 3 tahun selepas haid.
§ Peningkatan VO2 max mutlak semasa haid menunjukkan penambahan saiz badan, di mana penurunan VO2 max relatif pada tempoh ini menunjukkan peredaran oksigen tidak berkembang secepat jisim badan.
§ Perubahan dalam komposisi badan, khususnya penambahan lemak adalah faktor signifikan yang mempengaruhi VO2 max relatif semasa kematangan seksual dalam perempuan.
§ Perubahan imej badan dalam tempoh kematangan dan pertumbuhan pesat mungkin mempengaruhi motivasi untuk bertanding.
5 (a) Variasi berkait dengan kematangan dalam pertumbuhan
§ Kebanyakan fokus adalah pada peringkat remaja di mana variasi masa pertumbuhan pesat dan kematangan seksual dapat diperhatikan dengan jelas.
§ Kanak-kanak pada lazimnya dikategorikan dalam kumpulan kematangan awal, normal atau lewat berdasarkan umur rangka, umur semasa haid atau ciri-ciri seks sekunder.
§ Penilaian berdasarkan umur rangka
Umur rangka
Kategori kematangan
Dalam lingkungan 1 tahun umur kronologi
Normal
Lebih daripada 1 tahun umur kronologi
Awal
Kurang daripada 1 tahun umur kronologi
Lewat
§ Penilaian berdasarkan haid
Contoh: Kehadiran haid pada umur 13 tahun
Kategori kematangan
Antara 12 dan 14 tahun
Normal
Atas 14 tahun
Lewat
Bawah 12 tahun
Awal
§ Kanak-kanak yang matang awal adalah lebih tinggi dan berat berbanding mereka yang normal atau lewat matang.
§ Saiz badan akan kelihatan lebih ketara dan jelas di peringkat remaja bagi mereka yang matang pada waktu yang berlainan.
§ Kanak-kanak lewat matang akan mempunyai pinggul yang kecil berbanding bahu mereka.
§ Kanak-kanak awal matang akan mempunyai pinggul yang lebar berbanding bahu mereka.
§ Ektomorf lazimnya adalah berkait dengan lewat matang dalam lelaki dan perempuan.
§ Kajian telah menunjukkan bahawa terdapat korelasi positif antara endomorf dan mesomorf dan umur rangka, manakala korelasi negatif antara ektomorf dan umur rangka dalam kanak-kanak berumur antara 9 dan 17 tahun.
§ Korelasi antara endomorf dan umur rangka meningkat antara 9 dan 12 tahun, menunjukkan pengumpulan lemak sebelum pertumbuhan pesat remaja.
§ Korelasi antara endomorf dan umur rangka menurun antara 12 dan 16 tahun, menunjukkan pengurangan atau kehilangan lemak semasa pertumbuhan.
§ Lelaki akan mengalami pengurangan lemak bawah lapisan kulit di bahagian anggota hujung dan pengumpulan yang lebih di bahagian abdomen semasa peringkat remaja.
§ Korelasi antara mesomorf dan umur rangka adalah stabil antara 9 dan 12 tahun, dan seterusnya meningkat dari 12 ke 15 atau 16 tahun.
§ Korelasi negatif antara ektomorf dan umur rangka adalah stabil antara 9 dan 15 tahun dan mula menurun pada lewat remaja.
§ Lelaki yang lewat umur rangkanya sering mempunyai nilai ektomorf yang tinggi.
§ Ektomorf yang ketara (contohnya, 2-2-6), sama ada di prabaligh atau awal dewasa adalah berkait dengan kitaran remaja yang lewat atau panjang.
§ Mesomorf yang ketara di peringkat prabaligh akan kelihatan lebih rendah dan mempunyai kitaran remaja yang lewat sedikit tetapi pertumbuhan yang pesat.
§ Endomorf prabaligh akan mempunyai pertumbuhan yang awal dan pesat tetapi tidak lanjut untuk suatu tempoh masa yang lama.
§ Dalam lelaki, korelasi antara umur rangka dan kelebaran otot lengan dan betis meningkat dengan ketara dari umur kanak-kanak ke remaja, berbanding perempuan.
§ Korelasi antara ketebalan lemak di betis dan umur rangka meningkat dari umur kanak-kanak ke remaja dalam lelaki dan perempuan.
§ Ukuran otot, tulang dan lemak di lengan dan betis dalam kanak-kanak awal matang (lelaki dan perempuan) adalah besar.
(b) Variasi berkait dengan kematangan dalam prestasi
§ Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa terdapatnya korelasi positif antara umur rangka dan prestasi.
§ Korelasi antara umur rangka dan kekuatan adalah sederhana, dan adalah lebih tinggi untuk prestasi motor.
§ Oleh itu, kanak-kanak awal matang akan menjadi lebih kuat dan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan kanak-kanak lewat matang.
§ Prestasi semasa peringkat kanak-kanak pertengahan dipengaruhi oleh umur kronologi dan saiz badan, kedua-duanya berkait dengan status kematangan.
§ Kekuatan dan prestasi motor kanak-kanak praremaja adalah dipengaruhi oleh perkaitan antara umur kronologi, umur rangka, dan saiz badan. Oleh itu, adalah sukar untuk membezakan dengan jelas kesan khusus variasi berkait kematangan dalam penilaian kekuatan dan prestasi motor.
§ Secara umumnya, perkaitan kekuatan dan prestasi motor remaja lelaki adalah positif dan signifikan kepada kematangan rangka.
§ Prestasi motor remaja perempuan adalah tidak berkait secara signifikan kepada petunjuk kematangan rangka dan seksual.
§ Kekuatan statik adalah berkait secara positif kepada status kematangan dalam perempuan semasa remaja.
§ Data korelasi untuk kekuatan, prestasi motor, dan status kematangan semasa remaja adalah berkait dengan umur kronologi, status kematangan, saiz badan dan prestasi.

Tajuk 7 Faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan, kematangan dan prestasi
(Factors affecting growth, maturation and performance)
1 Faktor aktiviti fizikal
§ Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa terdapatnya penurunan aktiviti fizikal antara 2 – 5 tahun dan antara lelaki dan perempuan.
§ Secara puratanya, lelaki mempunyai aktiviti fizikal yang lebih berbanding perempuan. Walau bagaimanapun, lelaki akan mengalami penurunan yang lebih di peringkat lewat remaja berbanding perempuan.
§ Tahap aktiviti lazimnya meningkat dari peringkat pertengahan kanak-kanak ke awal remaja, tetapi akan menurun. Penurunan ini biasanya berlaku di peringkat lewat remaja kerana permintaan sosial remaja dan kerjaya.
§ Kanak-kanak lazimnya lebih aktif dalam musim panas apabila cuti persekolahan bermula. Pada remaja, aktiviti fizikal menurun pada waktu ini kerana mencari pengalaman pekerjaan.
§ Aktiviti fizikal bukannya sama dengan latihan senaman. Latihan senaman melibatkan aktiviti fizikal yang kerap dan sistematik seperti kalistenik, bebanan, berlari dan permainan atau aktiviti sukan yang dilakukan pada tahap intensiti tertentu untuk tempoh tertentu.
§ Oleh yang demikian, kita tidak boleh anggapkan perbezaan pertumbuhan dan kematangan antara atlet muda dan bukan atlet adalah disebabkan oleh latihan kerap.
§ Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa aktiviti fizikal yang kerap tidak mempunyai sebarang kesan terhadap pertumbuhan ketinggian.
§ Aktiviti fizikal yang kerap adalah faktor penting dalam mengekalkan berat badan. Latihan kerap akan mengakibatkan penurunan lemak dan peningkatan jisim bebas lemak.
§ Dapatan kajian telah menunjukkan tiada kesan yang signifikan latihan kerap ke atas somatotaip semasa pertumbuhan.
§ Adalah dianggapkan bahawa kandungan mineral yang tinggi dalam tisu tulang di peringkat awal dewasa menggambarkan kesan positif aktiviti fizikal yang kerap ke atas proses mineralisasi tulang semasa pertumbuhan.
§ Walau bagaimanapun, dalam perempuan, latihan bertahap tinggi dalam sukan daya tahan telah menyebabkan proses nyahmineralisasi tisu tulang dan ini ada kaitannya dengan fungsi haid yang telah berubah akibat latihan yang mendadak, lalu menyebabkan kekurangan hormon estrogen.
§ Latihan kerap telah didapati membawa kepada hipertrofi otot rangka dan peningkatan penguncupan protein dan kepekatan enzim.
§ Latihan kerap juga memberi kesan positif ke atas lemak badan, walaupun ini bergantungan pada tempoh lakuan.
§ Bukti kajian ke atas dewasa telah menunjukkan bahawa penurunan lemak hasil daripada latihan adalah disebabkan oleh penurunan saiz sel lemak dan bukannya perubahan dalam bilangan sel lemak.
§ Aktiviti kerap tidak memberi sebarang kesan terhadap peningkatan atau penurunan kematangan rangka.
§ Latihan rintangan untuk membentuk kekuatan tidak digalakkan untuk kanak-kanak prabaligh. Ini adalah kerana kuantiti hormon androgen dalam peredaran tidak mencukupi untuk memberi kesan positif. Selain dari ini, faktor keselamatan dalam latihan rintangan juga diambil kira.
§ Kajian telah menunjukkan bahawa sebelum, semasa dan selepas pertumbuhan pesat remaja, lelaki yang aktif mempunyai kuasa aerobik yang lebih berbanding yang lain.
2 Faktor sosial
§ Keadaan di mana seseorang kanak-kanak dilahirkan dan dipelihara akan membawa kesan terhadap pertumbuhan dan kematangan.
§ Status sosioekonomi keluarga seseorang kanak-kanak adalah faktor yang signifikan dalam pertumbuhan dan kematangannya.
§ Saiz keluarga juga memberi kesan terhadap pertumbuhan dan kematangan kanak-kanak dan ini bergantungan dari tempat ke tempat. Walau bagaimanapun, kesannya adalah tidak ketara dan jelas.
§ Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang kerap merokok sewaktu hamil lazimnya mempunyai berat badan dan ketinggian yang rendah.
§ Menyedut asap rokok daripada ibu bapa yang merokok juga memberi kesan terhadap saiz anak.
§ Kawasan tempat tinggal juga memberi kesan terhadap pertumbuhan dan kematangan kanak-kanak.
§ Pengaruh psikologi dan emosi juga memberi kesan terhadap pertumbuhan dan kematangan kanak-kanak.
3 Faktor kaum dan etnik
§ Kaum adalah merujuk kepada sekumpulan manusia yang berkait secara biologikal – satu kumpulan dengan peratusan baka yang sama dan tinggi.
§ Etnik adalah merujuk kepada sekumpulan manusia yang berkait dengan budaya.
§ Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa dalam kanak-kanak prasekolah dari pelbagai kumpulan kaum dan etnik, perbezaan berat badan dan ketinggian antara kelas sosial dalam kumpulan adalah besar berbanding variasi antara kumpulan.
4 Faktor pemakanan dan penyakit
§ Malnutrisi tenaga protein yang kronik semasa hamil lazimnya mengakibatkan kelahiran anak yang kurang berat. Bayi kelihatan kecil berbanding tempoh masa kelahirannya, dan sering kalinya terencat.
§ Keadaan ini melambangkan status pemakanan yang rendah.
§ Kebanyakan kerencatan pertumbuhan berlaku semasa awal kanak-kanak dan berterusan ke pertengahan kanak-kanak dan remaja.
§ Akibat daripada keadaan ini, penyakit yang bahaya dan berjangkit dalam kanak-kanak menjadi faktor kepada kerencatan pertumbuhan.
§ Antaranya adalah demam campak, masalah pernafasan seperti pneumonia dan sakit kerongkong, dan parasit usus seperti protozoa, cacing dan sebagainya.
5 Faktor cuaca
§ Kepanasan, kesejukan dan altitud tinggi boleh mempengaruhi pertumbuhan dan kematangan.
§ Masalah fisiologi utama bagi penduduk yang bercuaca panas adalah pembebasan haba yang berlebihan manakala bagi penduduk yang bercuaca sejuk adalah penyimpanan haba.
§ Penduduk yang tinggal di altitud tinggi menghadapi masalah mengekalkan oksigen dalam darah.
§ Dewasa di kawasan cuaca panas lazimnya mempunyai bentuk badan yang lurus, dan kurang berat berbanding mereka yang tinggal di kawasan cuaca sejuk.
§ Bagi penduduk di altitud tinggi, mereka mungkin menghadapi hipoksia (keadaan di mana oksigen berkurangan di dalam tisu badan). Kebanyakan mereka mempunyai bentuk badan yang kecil, rendah dan kematangan lewat berbanding mereka di paras laut. Walau bagaimanapun keadaan ini bergantung pada paras ketinggian yang didiami oleh penduduk.
Tajuk 8 Kanak-kanak di dalam aktiviti fizikal dan sukan
(The child in physical activity and sport)
1 Atlet kanak-kanak (Young athletes)
§ Didefinisikan berdasarkan kejayaan di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa, dan peringkat kelab atau kumpulan umur.
§ Atlet kanak-kanak lazimnya terdiri daripada mereka yang telah melalui satu proses pemilihan.
§ Pemilihan ini dibuat berasaskan keperluan kemahiran sukan yang diceburi.
§ Saiz dan ketinggian mungkin menjadi faktor pemilihan tambahan bagi sesetengah sukan.
§ Kajian ke atas atlet kanak-kanak yang cemerlang telah menunjukkan bahawa mereka telah mula bertanding secara kerap sejak 5 atau 6 tahun, dan kebanyakannya berasal dari keluarga yang aktif bersukan.
§ Kanak-kanak lazimnya memilih sukan yang mereka ingin ceburi dan ini adalah satu faktor yang kritikal. Kanak-kanak perlu bermotivasi untuk berlatih dan bertanding.
§ Peranan jurulatih adalah penting dalam pemilihan sukan kanak-kanak di peringkat kemahiran dan pertandingan yang lebih tinggi.
§ Faktor-faktor lain juga perlu diambil kira dalam pemilihan sukan. Antaranya peluang, ekonomi, dan jurulatih.
§ Bentuk sebaran atlet kanak-kanak adalah bersifat piramid, di mana terdapatnya ramai atlet di peringkat novis (permulaan). Apabila tahap kemahiran dan pertandingan meningkat, bilangan atlet yang berjaya menjadi kecil. Mereka yang berada di peringkat paling tinggi lazimnya dikenali sebagai atlet elit.
§ Sukan kanak-kanak adalah popular dari 9 – 16 tahun dan tempoh ini memberi variasi signifikan terhadap saiz, bentuk, komposis badan, kekuatan dan prestasi motor yang berkait dengan status kematangan biologi.
2 Arah aliran pertumbuhan, kematangan dan prestasi kanak-kanak
§ Secara puratanya, status kematangan awal berkait dengan saiz badan yang besar (L & P), jisim otot dan bebas lemak yang besar (L) dan lebih lemak dalam perempuan.
§ Lelaki awal matang adalah lebih kuat berbanding lelaki normal atau lewat matang, dan lebih baik dari aspek prestasi motor.
§ Apabila remaja mula berkembang, saiz dan status kematangan menjadi kurang penting di dalam kebanyakan sukan.
§ Penurunan pertumbuhan dan kematangan pada lelaki awal matang di peringkat pertengahan remaja dan peningkatan oleh lelaki lewat matang mengurangkan jurang saiz yang kelihatan ketara semasa awal remaja, walaupun bentuk dan komposisi badan masih menampakkan perbezaan.
§ Perkaitan antara status kematangan biologikal, kekuatan dan prestasi motor di dalam perempuan adalah perempuan lewat matang menunjukkan prestasi motor yang lebih baik.
§ Perempuan awal matang lebih berat dan gemuk di peringkat lewat remaja manakala perempuan lewat matang lebih kurus dan kurang lemak.
§ Oleh yang demikian, ciri-ciri pertumbuhan dan kematangan atlet kanak-kanak perlu dilihat dari dua perspektif iaitu:
(i) semasa awal dan pertengahan remaja (9 – 14 atau 15 tahun) apabila variasi berkait kematangan dalam saiz jelas
(ii) semasa lewat remaja (15 – 17 tahun) apabila kumpulan lewat matang mengurangkan jurang variasi berkait kematangan
§ Adalah jelas bahawa pelbagai faktor terlibat dalam kejayaan prestasi atlet semasa kanak-kanak dan remaja, dan perbandingan ciri-ciri fizikal atlet kanak-kanak ini mempunyai hadnya.
§ Pertumbuhan dan status kematangan kanak-kanak adalah penting, tetapi bukan satu-satunya penentu kejayaan prestasi.
§ Kemahiran dan lazimnya ciri-ciri fizikal akan memberi kanak-kanak kelebihan awalan dalam penglibatan sesuatu sukan dan pertandingan.
§ Status kematangan biologikal awal, disertai dengan kelebihan saiz dan kekuatan, merupakan aset kepada kejayaan dalam sukan di peringkat awal remaja.
§ Atlet kanak-kanak lelaki dalam sukan besbol, ragbi, renang dan larian sering kalinya menunjukkan kemajuan di dalam kematangan rangka dan seksual.
§ Prestasi dalam sukan ini banyak bergantung pada kekuatan dan kuasa; saiz badan dan jisim otot yang besar yang berkait dengan status kematangan awal adalah satu aset.
§ Atlet kanak-kanak perempuan di dalam sukan gimnastik, larian, figure skating dan ballet sering kalinya lewat dalam kematangan biologikalnya berbanding populasi umum dan status kematangan perenang kanak-kanak sering kalinya lebih awal atau normal.
§ Kebanyakan kanak-kanak perempuan di dalam gimnastik, figure skating dan ballet mula membuat latihan kerap dan pertandingan menjelang 6 – 7 tahun.
§ Dalam gimnastik, kebolehan kanak-kanak perempuan menyokong berat badannya dengan tangan dan bahu adalah penting.
§ Atlet gimnastik, figure skating dan ballet mempunyai umur haid yang lewat berbanding perenang dan bukan atlet.
§ Kajian dalam liga sofbol antarabangsa untuk kanak-kanak perempuan 9 – 12 tahun mendapati mereka yang mempunyai saiz badan dan kematangan awal adalah lebih berjaya dalam permainan ini. Ini dapat dilihat dari aspek kemahiran memukul dan membaling bola.
§ Bentuk dan komposisi badan perempuan lewat matang adalah lebih sesuai untuk sukan yang mencabar.
§ Atlet perempuan mempunayi kurang lemak berbanding bukan atlet khususnya semasa remaja, dan ini adalah lebih ketara dalam perempuan berbanding lelaki.
§ Kuasa aerobik maksimum mutlak dan relatif adalah lebih di dalam atlet kanak-kanak yang berlatih kerap dalam sukan daya tahan seperti berenang, berlari dan berbasikal.
§ Kanak-kanak yang berlatih untuk sukan daya tahan mempunyai isipadu jantung yang lebih besar, kadar denyutan nadi yang rendah, isipadu darah yang tinggi, hemoglobin darah yang tinggi dan isipadu paru-paru yang besar.
§ Ciri-ciri unik pertumbuhan dan kematangan atlet kanak-kanak wujud semasa zaman mereka.

Rujukan utama:
Malina, R. M., Bouchard, C., & Bar-Or, O. (2004). Growth, maturation, and physical activity (2nd ed.). Champaign, IL: Human Kinetics.
Rujukan tambahan:
Gabbard, C. P. (2008). Lifelong motor development (5th ed.). CA: Pearson Benjamin Cummings
Haywood, K. M. (1993). Lifespan motor development. Champaign, IL: Human Kinetics.
Pickup, I., & Price, L. (2007). Teaching physical education in primary school: A developmental approach. London: Continuum International Publishing Group.
Schmidt, R. A., & Lee, T. D. (2005). Motor control and learning: A behavioral emphasis (4th ed.). Champaign, IL: Human Kinetics.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut

Cari Blog Ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...